Seminar Histroriografi Antarabangsa Kedah angkat semula sejarah Nusantara

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

ALOR SETAR – Seminar Antarabangsa Kedah:Histroriografi Nusantara 2025 (SAK 2025) bukan sekadar seminar, tetapi suara masa silam yang dibangkitkan kembali, agar tidak hilang ditelan zaman, tidak kabur dilitupi kabus modernisasi.

SAK 2025 yang menghimpunkan para cendekiawan dari dalam dan luar negara bersatu atas satu misi besar demi menyelamatkan, merekodkan dan mengangkat semula sejarah kepulauan Melayu (Nusantara) yang agung.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat Perpaduan, Dato’ Hjh. Halimaton Shaadiah Saad berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian SAK 2025 di Perpustakaan Digital Kedah, Jalan Menteri, Taman Jubli Perak, dekat sini pada Selasa.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Ungku Noorakmal Ungku Sulaiman; Pengerusi Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan dengan Kepujian Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (Slcp) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamed Ali Haniffa; dan Pengarah Perpustakaan Awam Kedah (PPAK) , Shahizan Affandi Zakaria.

Halimaton merangkap Pengerusi PPAK mewakili Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Hj. Muhammad Sanusi Md Nor berkata penganjuran seminar ini bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025) yang memperkenalkan keindahan alam dan budaya.

Selain itu, turut mengangkat warisan intelektual dan sejarah sebagai salah satu tarikan pelancongan dan pembentukan tamadun.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Kedah akan terus komited dan menyokong penganjuran seperti ini.

“Insya-Allah, pada masa akan datang seminar ini akan diangkat ke tahap lebih besar dan lebih berimpak dengan penyertaan lebih meluas dan jaringan antarabangsa yang lebih kukuh.

“Kami tidak mahu Kedah dikenali kerana gunung dan laut, sawah menghijau dan pantai membiru, tetapi juga kerana kekayaan manuskrip, tinggalan sejarah, dan nilai pemikiran yang menjulang tinggi.

“Kita berada dalam zaman di mana maklumat datang terlalu deras, tetapi pemahaman terhadap akar sendiri semakin pudar,”katanya.

“Jika kita tidak memelihara sejarah kita, kita akan dipaksa menerima versi yang ditulis oleh tangan asing, tanpa roh, tanpa kasih, tampa faham akan darah yang tertumpah di bumi kita sendiri.

“Sejarah adalah amanah, ia bukan milik masa lalu semata, tetapi harta karun masa depan yang menanti untuk di gali dan dihargai, ”katanya lagi.

“Seminar ini menjadi titik tolak kepada gerakan lebih besar, bukan sahaja dalam kalangan akademik tetapi dalam masyarakat awam, pelajar sekolah, golongan muda agar budaya membaca, memahami dan mencinta sejarah menjadi darah daging rakyat Kedah dan rakyat Malaysia seluruhnya

“Hasil seminar ini kelak akan menjadi dokumen berharga, bukan sekadar untuk disimpan dalam arkib, malah dijadikan rujukan dan ilham generasi akan datang, ”ujarnya.

“Biarlah bumi Kedah ini, bangkit satu suara yang menyatukan seluruh jiwa Nusantara, suara yang tahu dari mana datangnya kita, dan ke mana kita harus membawa arah bangsa ini.

“Semoga ia menjadi nyala suluh yang membakar semangat generasi, menjadi jambatan antara zaman, dan menjadi legasi yang disanjung oleh anak cucu kita, ”ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Penyandang Kursi Sultan Zainal Abidin Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali berkata Kedah Darulaman indah dan permai kaya dengan sejarah, budaya dan warisan bangsa.

Dr. Abdullah berkata mengimbau sejarah masa lalu Kedah Darulaman, tersimpan banyak memori warisan tidak terkecuali sejarah dan budaya bangsa yang gemilang serta terbilang.

Menurut beliau, selain memiliki khazanah naskhah Melayu yang tidak ternilai hebatnya, Kedah turut menyimpan banyak khazanah sejarah, budaya dan warisan yang tidak ternilai cemerlang hebatnya.

“Contohnya, tinggalan sejarah di Sungai Batu telah membuktikan berlaku kegiatan perdagangan antarabangsa sejak 600 tahun sebelum masihi dan tidak kurang pentingnya dan menariknya iaitu instuasi raja di Kedah bermula pada abad ke 7 masihi sekitar 630 M iaitu 1,395 tahun dahulu.

Selain itu, Kesultanan Kedah adalah terawal di Tanah Melayu memeluk Islam iaitu pada tahun 1136, lebih kurang 888 tahun yang lalu, ”katanya.

“Pada suatu ketika, Kedah juga telah mengangkat namanya di persada dunia ialah kewujudan naskhah Melayu atau Histroriografi Melayu Kedah antaranya berkaitan sejarah, budaya, sastera, dan undang-undang.

“Bukan sahaja menjadi lambang kecemerlangan lambang tradisi tulis Kedah malah mencerminkan kehebatan serta bijaksana pengarang Kedah, sekaligus setanding dengan pengarang lain di Semenanjung Malaysia dan Nusantara,”katanya lagi.

SAK 2025 yang julung kalinya diadakan bermula 27 hingga 28 Mei 2025 dianjurkan oleh PPAK dengan kerjasama Persatuan Sejarah Lisan Malaysia (PSLM) dan UUM telah menghimpunkan lebih 93 pembentang dari pelbagai latar belakang.

Seminar ini melibatkan penyertaan aktif daripada ahli akademik, penyelidik, dan penggiat warisan dari tiga buah negara, Malaysia, Indonesia dan Thailand sekali gus menyerlahkan kepelbagaian wacana serta kepakaran dalam bidang historiografi dan warisan Nusantara.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat