KUALA LUMPUR – Menyusul Datuk Seri Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad juga menghantar surat peletakan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tarikh peletakan jawatan Nik Nazmi berkuat kuasa pada 4 Julai 2025 dan beliau bercuti bermula esok hingga 3 Julai 2025.
“Saya sedar bahawa kedudukan saya ketika itu sebagai Naib Presiden PKR merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikan saya ke Kabinet.
“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penjawat awam yang berwibawa, pasukan di pejabat saya yang cemerlang, serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil yang telah banyak mengajar saya dan memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh ini.
“Kami sentiasa berusaha untuk mengambil pendekatan yang terbuka dan berunding dengan semua pihak dalam merangka dasar dan memperkenalkan undang-undang.
“Saya kini menantikan peluang untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, serta menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasan saya di Setiawangsa.
“Mengungkapkan semula kata-kata mendiang Ahli Parlimen Britain, Tony Benn: “Saya meninggalkan Kabinet untuk memberikan lebih masa kepada politik dan khidmat awam,” ungkap Nik Nazmi dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, sejak dilantik ke dalam Jemaah Menteri, pertama sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Disember 2022-Disember 2023), dan seterusnya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Disember 2023 Julai 2025), beliau telah berusaha sebaik mungkin bersama Timbalan Menteri dan para penjawat awam yang berdedikasi untuk melaksanakan reformasi yang amat diperlukan.
Ujarnya, kejayaan dua kementerian ini termasuklah pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] – Fasa 1, serta peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
Bahkan katanya, Malaysia juga menjadi antara negara terawal yang mengemukakan National Biodiversity Strategies and Action Plan (NBSAP) bagi membendung kemusnahan alam semula jadi.
“Pengurangan kadar penyahutanan yang ketara juga telah mendapat pengiktirafan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres.
“Hanya dalam beberapa minggu selepas dilantik, kami berjaya melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) di Semenanjung Malaysia. Kami juga berjaya meluluskan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga di Dewan Rakyat. Dalam sektor air, kami telah memperkenalkan Tariff Setting Mechanism yang amat diperlukan.
“Pasukan NRES telah memulakan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dari peringkat paling asas, dan kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan ke Jemaah Menteri dan Parlimen,” jelas Nik Nazmi.