KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM261.9 bilion pada April 2025, didorong oleh prestasi eksport dan import yang memberangsangkan.
Eksport negara mencecah RM133.6 bilion, manakala import pula berjumlah RM128.4 bilion, menurut laporan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri April 2025 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Rabu.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Sri Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai eksport meningkat sebanyak RM18.9 bilion atau 16.4 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.
“Lonjakan ini disokong oleh pertumbuhan eksport di tujuh negeri utama, yang secara kolektif menyumbang RM219.4 bilion dalam perdagangan negeri”, kata Uzir.
Pulau Pinang terus menjadi penyumbang terbesar eksport negara, menyumbang 36.7 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.
Negeri ini merekodkan peningkatan eksport tertinggi sebanyak RM14.5 bilion, diikuti oleh Johor (+RM3.0 bilion), Selangor (+RM3.0 bilion), Perak (+RM286.5 juta), Negeri Sembilan (+RM196.4 juta), Melaka (+RM171.8 juta), Pahang (+RM107.0 juta) dan Perlis (+RM9.4 juta).
Bagaimanapun, beberapa negeri merekodkan penurunan eksport termasuk W.P. Kuala Lumpur (-RM1.2 bilion), Terengganu (-RM783.2 juta), Sarawak (-RM313.6 juta), Kedah (-RM228.7 juta), Kelantan (-RM96.4 juta), W.P. Labuan (-RM33.1 juta) dan Sabah (-RM22.6 juta).
Import negara turut menunjukkan peningkatan ketara sebanyak RM21.4 bilion atau 20.0 peratus. Negeri Selangor mencatatkan kenaikan import tertinggi dengan RM9.0 bilion, menjadikan negeri itu penyumbang terbesar import negara sebanyak 29.7 peratus.
Ini diikuti oleh Pulau Pinang (22.9 peratus), Johor (19.1 peratus), W.P. Kuala Lumpur (10.4 peratus) dan Kedah (5.0 peratus).
“Antara negeri yang turut mencatat peningkatan import termasuk Pulau Pinang (+RM6.9 bilion), W.P. Kuala Lumpur (+RM5.3 bilion), Johor (+RM1.4 bilion), Perak (+RM303.1 juta), Kedah (+RM105.9 juta), Kelantan (+RM39.7 juta) dan Sabah (+RM27.9 juta)”, tambah beliau.
Namun, terdapat penurunan import di beberapa negeri seperti Pahang (-RM794.8 juta), Melaka (-RM674.4 juta), Negeri Sembilan (-RM526.1 juta), Sarawak (-RM306.8 juta), Terengganu (-RM130.5 juta), W.P. Labuan (-RM79.9 juta) dan Perlis (-RM3.7 juta).
Pertumbuhan eksport dan import ini memberi gambaran kukuh terhadap pemulihan dan daya tahan ekonomi negara, terutamanya dalam suasana global yang masih mencabar.