Berasas atau tidak, SPRM tetap bertegas mahu lucut hak harta Daim tak diisytihar, anggap diperoleh cara salah – Azam Baki

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertegas untuk tetap mengambil tindakan pelucutan sebahagian hak pemilikan harta Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan keluarganya yang tidak diisytihar.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan lebih banyak kertas siasatan dibuka dalam tindakan melucutkan hak harta berkenaan.

Beliau mengulas kenyataan peguam isteri Daim dan keluarga yang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak masuk akal dan dibuat tanpa asas perundangan.

“Berasas atau tidak, itu adalah pandangan beliau dan mereka juga mempunyai hak untuk menyuarakan apa sahaja pandangan mereka.

SPRM percaya harta Daim yang tak diisytihar mungkin diperoleh dengan cara salah

“Namun di pihak saya, kita akan meneruskan tindakan yang diatur dan dirancang, bagi tujuan menentukan hak untuk harta-harta itu, yang kita rasakan ia diperoleh dengan menyalahi undang-undang,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Polisi Integriti Universiti Islam Selangor (UIS) Selangor, lapor BH di Kajang pada Rabu.

Yang turut hadir, Naib Canselor UIS, Datuk Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Mengulas lanjut, Azam berkata, jumlah kertas siasatan SPRM mungkin bertambah daripada lapan sedia ada.

“Jumlah keseluruhan harta yang dikesan SPRM setakat ini adalah RM2 bilion tetapi ia mempunyai pecahan-pecahannya (untuk dilucutkan hak). Setiap harta yang berkaitan (dilucutkan hak) memerlukan satu permohonan kertas siasatan.

“Setakat ini ada lapan kertas siasatan sahaja yang dibuka dan ya… ia mungkin bertambah… mungkin selepas ini,” katanya.

Dalam sidang akhbar minggu lalu, Azam mengesahkan SPRM sedang berusaha untuk melucutkan hak pemilikan harta milik Daim dan keluarganya. Selain RM2 bilion harta Daim yang kini dibekukan SPRM, agensi itu percaya masih ada harta yang tidak diisytiharkan di luar negara.

Harta itu, katanya, membabitkan yang dimiliki ahli keluarga serta proksi Daim.

Tindakan itu mendapat reaksi peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga mendakwa kenyataan itu tidak masuk akal, dibuat tanpa sebarang asas perundangan, tidak boleh dipertahankan dan bersifat membalas dendam.

Ini kerana kata peguam itu, Daim sudah meninggal dunia dan tiada sebarang pertuduhan tertangguh terhadapnya di mahkamah dan beliau juga tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat