KUALA LUMPUR – Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan dan menyelesaikan siasatan kes jenayah dengan lebih pantas.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini pihak polis menerima sekurang-kurangnya 400,000 laporan bersabit pelbagai kes jenayah setiap bulan.
Menurut beliau, dengan bantuan AI yang mana polis kini sedang menjalankan projek rintis, teknologi itu dapat memadankan hasil siasatan dan bukti-bukti daripada laporan tersebut dengan undang-undang yang relevan.
Ia jelas beliau, dapat membantu dalam melengkapkan kertas pertuduhan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC), seterusnya memulakan proses pendakwaan di mahkamah dengan lebih cepat.
“Kita mampu melakukan ini semua kerana kita telah menubuhkan pusat sains data di Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak 2023 dan pusat-pusat ini telah membantu kita membuat keputusan dan polisi berdasarkan data.
“Ini bermakna dengan menganalisis data dan menggunakan teknologi AI ini, kita tidak akan tersilap dalam memahami dan menangani potensi kes jenayah di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menjadi ahli panel dalam Forum Ekonomi ASEAN-GCC 2025 bertajuk AI x Security: Global Parternship Driven by ASEAN and GCC, lapor Malaysia Gazette pada Rabu.
Turut menjadi ahli panel pada forum itu ialah Presiden dan Timbalan Pengerusi XPeng Motors, Brian Gu dan ahli ekonomi global yang juga penulis buku antarabangsa, Dr. Keyu Jin.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin Nasution berkata, Malaysia memilih untuk tidak berpihak dalam menerima pakai teknologi AI yang dibangunkan mana-mana negara termasuk sama ada oleh Amerika Syarikat (AS) atau China.
Sebaliknya, kata beliau, Malaysia memilih untuk bekerjasama dengan negara pembangun teknologi AI itu kerana percaya pendekatan tersebut memberi manfaat yang lebih jelas kepada negara ini.
“Ini bermaksud kita boleh membawa masuk alat AI yang paling dipercayai, mampu milik, dan berkesan ke dalam negara.
“Kita memilih apa yang terbaik untuk Malaysia berdasarkan keperluan kita,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan seimbang itu membolehkan Malaysia berunding, berinovasi dan melindungi kepentingan negara serta dalam masa sama membina kepercayaan dengan lebih ramai rakan strategik seperti di ASEAN, Negara Teluk, AS dan China.
“Saya rasa inilah manfaat yang jelas apabila kita mengambil pendirian sebegini yang mana kita menikmati yang terbaik dari kedua-dua negara.
“Fokus kita bukan kepada membangunkan teknologi AI itu sendiri, tetapi kita memberi tumpuan kepada bagaimana kita boleh memanfaatkan aplikasi AI sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah rakyat. Itulah keutamaan kita,” katanya.