Vaksin Tingkatkan Daya Tahan Tubuh Lawan Penyakit – Noor Azmi

- Advertisement -

PARIT BUNTAR – Individu termasuk petugas barisan hadapan yang telah menerima suntikan vaksin bukan jaminan mereka sudah kebal atau tidak lagi dijangkiti virus Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, ini kerana vaksin bukan ubat seperti yang disangka ramai sebaliknya ia untuk menguatkan antibodi atau meningkatkan sistem daya tahan tubuh badan untuk melawan penyakit.

Menurutnya, anggapan vaksin yang diberikan oleh kerajaan adalah ubat tidak benar.

“Vaksin bukan ‘freedom passport’, sebaliknya ia bertindak untuk menguatkan tahap antibodi atau daya ketahanan badan manusia.

“Bagi kes lebih 1,000 petugas barisan hadapan yang dilaporkan dijangkiti Covid-19 biarpun telah menerima suntikan vaksin, ia sebenarnya bergantung pada cara penjagaan prosedur operasi standard (SOP) yang mereka amalkan.

“Mungkin mereka menjaga ketat tahap kepatuhan SOP di tempat kerja tetapi sebaliknya (jangkitan) mungkin berlaku apabila mereka berada di luar atau ketika pulang ke rumah.

“Justeru, kita perlu meningkatkan lagi tahap kepatuhan SOP termasuk menyahut saranan kerajaan untuk buat self lockdown serta tingkatkan pengambilan suplemen supaya daya ketahanan badan kuat untuk dapat melawan penyakit ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Taman Kerian Permai, di sini hari ini.

Mengenai dakwaan vaksin yang dibekalkan kepada kerajaan diragui keasliannya dan meminta kerajaan mengkaji semula isi kandungannya yang mungkin hanya diisi air paip, Noor Azmi menegaskan, dakwaan itu tidak benar.

Menurutnya, tidak timbul isu ada bahan lain yang tidak jitu dalam vaksin yang dibekalkan.

Katanya, ini kerana setiap vaksin yang diperkenalkan, ia akan melalui satu proses yang sangat ketat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Bahkan ia tidak hanya terhenti setakat itu, akan dikaji lagi oleh pakar sebelum mendapat kelulusan untuk digunakan.

“Kita tidak bercadang untuk mengkaji semula kandungan vaksin yang dibekalkan dan dakwaan kononnya vaksin diisi air paip tidak berasas,” katanya.

Semalam, Kementerian kesihatan (KKM) mengesan 870 petugas kesihatan mendapat jangkitan Covid-19 selepas mendapat dos vaksin menerusi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula akhir Februari lalu hingga April.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata ketika ini, pihaknya mendapati seramai 1,369 petugas kesihatan dijangkiti wabak itu sejak setahun lalu.

Beliau berkata, seramai 219 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas mendapat satu dos vaksin atau 16 peratus daripada keseluruhan petugas yang dijangkiti.

Katanya, bagi petugas yang sudah mendapat dua dos vaksin, seramai 651 dikesan dijangkiti Covid-19 manakala 499 lagi dijangkiti sebelum mereka mendapatkan pelalian. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat