KUALA LUMPUR – Sekiranya Mahkamah Persekutuan memihak kepada Peguam Negara, maka perjuangan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan keadilan dan menuntut pelaksanaan Titah Addendum Diraja akan terkubur.
Namun, jika Peguam Negara gagal dalam rayuannya, kes ini akan dihantar semula ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan dan ini bermakna Najib masih perlu tunggu lagi.
Facebook bekas Perdana Menteri itu dalam hantaran pada Isnin menyatakan, berita yang amat mengecewakan pagi tadi.
“Pada Januari 2025, Mahkamah Rayuan telah mengarahkan supaya kes berkaitan Titah Addendum dihantar semula ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.
“Namun, pada hari terakhir tempoh rayuan, pihak Peguam Negara telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kebenaran mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengesahkan kewujudan Titah Addendum tersebut.
“Pagi ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan Peguam Negara untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, dan perbicaraan di Mahkamah Persekutuan telah dijadualkan pada 1 hingga 2 Julai 2025.
“Ini bermakna perbicaraan di Mahkamah Tinggi terpaksa sekali lagi ditangguhkan sehingga keputusan Mahkamah Persekutuan diumumkan pada bulan Julai 2025,” katanya.
Menurut catatan itu lagi, adalah sangat menyedihkan kerana Najib sepatutnya telah diberikan tahanan di rumah seperti yang telah dititahkan sejak 29 Januari 2024 – iaitu sudah 15 bulan yang lalu.
“Istana Pahang dan Perdana Menteri sendiri telah mengakui bahawa Titah Addendum itu wujud.
“Malah, Mahkamah Rayuan juga sudah memutuskan bahawa titah tersebut sah wujud.
“Namun, Najib masih terus dinafikan keadilan dan haknya yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.