Bekas Adun Nenggiri tarik balik saman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Adun Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim menarik balik saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar penamatan keahlian beliau daripada Bersatu.

Peguam Nur Irdina Syahirah Mohammad Wardi yang mewakili Azizi, memaklumkan kepada Hakim Roz Mawar Rozain bahawa pihaknya menarik balik saman itu kerana ia menjadi akademik memandangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri telah berlangsung dan mempunyai Adun baharu.

Sementara itu, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah selaku defendan, memohon Azizi membayar kos sebanyak RM250,000 kerana kes itu berkepentingan awam dan rumit.

“Pihak kami juga telah bertungkus lumus menyiapkan kes ini memandangkan ia melibatkan speaker yang merupakan satu jawatan penting dan boleh memberi kesan kepada badan perundangan negara selain kes ini membabitkan landskap pemilihan wakil rakyat,” katanya lapor Bernama.

Peguam Chetan Jethwani yang mewakili Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai defendan, turut memohon Azizi membayar kos RM250,000 kepada kedua-dua anak guamnya.

“Saman ini tiada asas dan penghujungnya akan gagal. Ini terbukti dengan penarikan balik saman ini,” kata Chetan.

Hakim Roz Mawar kemudian membatalkan saman itu dan memerintahkan Mohd Azizi membayar kos RM50,000 kepada Mohd Amar dan RM50,00 untuk Muhyiddin dan Hamzah.
Azizi selaku plaintif memfailkan saman pemula pada 24 Jun tahun lepas, dengan menamakan Muhyiddin, Hamzah dan Mohd Amar sebagai defendan.

Beliau memohon pengisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahlian beliau dalam Bersatu menerusi notis bertarikh 12 Jun 2024, adalah tidak sah dan batal serta salah di sisi undang-undang.

Azizi juga memohon perisytiharan bahawa Surat Makluman itu tidak sah dan batal serta pemecatan jawatannya daripada Bersatu adalah berniat jahat.

Menurut plaintif, pindaan kepada Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika dia menyokong pesaing politik, adalah tidak berperlembagaan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat