KULAI — Program rintis Future Health for All (FH4A) diwujudkan bagi meningkatkan kesedaran rakyat mengenai penjagaan kesihatan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata ia dijalankan melalui pelbagai sesi perkongsian, pameran teknologi kesihatan, saringan kesihatan percuma, serta peluang untuk mengalami sendiri inovasi kesihatan terkini.
“Kerajaan komited dalam memperkasakan kesaksamaan akses kesihatan rakyat dengan mengaplikasikan teknologi terkini bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan negara, khususnya melalui penggunaan ketersambungan 5G yang lebih meluas dan efisienc,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahanya, FH4A akan diperluas ke negeri-negeri lain termasuk di kawasan bandar dan luar bandar.
“Usaha ini amat penting dalam memastikan rakyat mendapat akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti tanpa mengira lokasi dan memperkukuh literasi kesihatan.
“Program rintis ini telah mendapat sokongan penuh rakan-rakan strategik iaitu Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Majlis Amanah Rakyat (MARA), ProtectHealth, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dan KPJ Healthcare Berhad,” katanya.
Sejak dilancarkan pada 18 Januari 2024, FH4A telah dianjurkan di 20 buah lokasi merentasi enam negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Johor.