KUALA LUMPUR – Majlis Ulama Umno berperanan menasihati kerajaan agar sentiasa bertindak selaras dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia iaitu Islam sebagai agama Persekutuan.
Majlis Ulama Umno semalam mengadakan Mesyuarat Tertinggi kali pertama dipengerusikan oleh Datuk Dusuki Ahmad selepas diumumkan penubuhannya oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Perhimpunan Agung Umno 2022 pada 13 Januari 2023.
“Majlis Ulama Umno mempunyai empat peranan utama. Pertama, menasihati parti bagi merealisasikan Asas dan Tujuan Umno sebagaimana Fasal 3 dan ceraian 3.1 Perlembagaan Umno iaitu menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama Persekutuan seta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kedua, mendidik dan mentarbiah ahli parti supaya selaras dengan asas dan tujuan parti seterusya beristiqamah dengan Islam agar menjadi Muslim bertaqwa serta warganegara yang baik.
“Ketiga, Majlis ini juga akan memainkan peranannya menasihati kerajaan agar sentiasa bertindak selaras dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia iaitu Islam sebagai agama Persekutuan.
“Keempat, menangani isu semasa melibatkan kepentingan umat Islam di dalam dan luar negara serta membimbing mat untuk sentiasa istiqamah dengan Islam dan menjadi warganegara yang baik,” jelasnya.
Sementara itu, struktur rasmi Majlis Ulama terbahagi kepada tiga iaitu Anggota Tertinggi, Panel Muzakarah dan Anggota.
Manakala Anggota Tertinggi terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha Eksekutif, tidak lebih daripada 10 anggota dan Pengerusi-Pengerusi Biro Agama Umno Negeri dan Wilayah.
“Panel Muzakarah pula terdiri daripada ulama dan ilmuwan Islam daripada dalam dan luar parti yang dilantik oleh Majlis Ulama.
“Anggota Majlis Ulama pula terbuka keanggotaannya kepada lepasan Pengajian Islam dari institut pengaian tinggi atau institut pengajian tradisional Islam atau tokoh yang diperakui keilmuannya dalam pengajian Islam,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam perkembangan lain, Mesyuarat Anggota Tertinggi telah meluluskan 30 Mercu Tanda Majlis Ulama Umno (Fasa Permulaan 2023-2024) untuk dilaksanakan.
Katanya, Mercu Tanda adalah perancangan strategik jangka masa pendek dan panjang yang memberikan impak kepada parti serta rakyat.
“Tiga daripada 30 Mercu Tanda tersebut ialah pertamanya, Program Halaqah yang akan menjadi program tetap pentarbiahan ahli parti untuk dilaksanakan di Bahagian dan Cawangan.
“Kedua, Sidang Muzakarah Meja Bulat Majlis Ulama Umno yang akan dikendalikan oleh panel-panel Majlis Ulama. la adalah medan untuk mengenal pasti isu-isu kepentingan semasa dan masa hadapan umat Islam seterusya menghasilkan resolusi yang berimpak tinggi demi pembangunan serta kemajuan ummah.
“Ketiga, menyemarakkan peranan Pusat Islam WTC dengan menjadikan Surau Rahman WTC sebagai antara pusat aktiviti keilmuan Islam semasa menerusi kuliah ilmu secara berkala.
Selain itu, menjadi harapan Majlis Ulama Umno untuk memainkan peranannya dalam parti dan untuk kepentingan ummah selain sentiasa bersama dengan denyut nadi rakyat dalam menangani cabaran semasa selaras dengan kehendak Islam.