KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan pelepasan bankrap akan dilaksanakan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) melalui pengeluaran Sijil Pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi mengikut Seksyen 33A Akta 360.
Bagi maksud berkenaan, katanya, Ketua Pengarah Insolvensi akan memberikan pertimbangan kepada tiga kategori kes kebankrapan.
“Kategori pertama, pengisytiharan kebankrapan telah melepasi tempoh lima tahun dari tarikh perintah penerimaan dan perintah penghukuman/perintah kebankrapan. Kedua, jumlah hutang yang diperakukan atau baki hutang yang terlibat tidak melebihi RM50,000.
“Kategori ketiga, tiada perintah mahkamah, prosiding mahkamah dan/atau prosiding penyiasatan dijalankan ke atas bankrap mengikut Akta 360 yang menghalang pelepasan diberi melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sehubungan itu, beliau berkata, individu bankrap yang berada dalam tiga kategori berkenaan boleh membuat permohonan pelepasan kepada cawangan MdI yang mentadbir kes kebankrapan mereka.
“Bankrap boleh hadir atau menghantar surat atau e-mel kepada cawangan yang terlibat untuk menyemak status kes kebankrapannya. Maklumat lanjut berkenaan permohonan pelepasan ini juga boleh diperolehi di laman web rasmi MdI.
“Bankrap digalakkan untuk mengakses set soalan lazim berhubung pelepasan melalui sijil Ketua Pengarah Insolvensi mengikut Seksyen 33A Akta Akta 360 bagi kategori bankrap dengan hutang berskala kecil di laman web rasmi www.mdi.gov.my untuk mendapatkan maklumat diperlukan,” katanya.
Ketika membentangkan Belanjawan 2023
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dasar kerajaan untuk memberikan peluang kedua kepada rakyat yang telah diisytiharkan bankrap.
Selaras dengan itu, kerajaan berhasrat untuk meminda Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) dengan membuat penambahbaikan kepada peruntukan pelepasan secara automatik agar bankrap boleh dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempoh yang singkat.
Sementara menunggu pindaan berkenaan, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk membantu rakyat yang bankrap dengan jumlah hutang berskala kecil dilepaskan daripada kebankrapan bermula 1 Mac 2023.