Unikl MITEC Bangunkan Loji Simulasi Hiliran Bersepadu Bernilai RM7.1 Juta

PASIR GUDANG – UniKL Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL MITEC) terus memperkasakan fasiliti latihan bagi pelajarnya yang mengikuti pengajian dalam bidang berkaitan industri minyak dan gas.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, fasiliti yang bernilai RM7.1 juta ini merupakan satu-satunya fasiliti setaraf standard sebenar industri penapisan petroleum yang ada untuk universiti di Malaysia.

“ Fasiliti itu dilengkapi 3 unit utama iaitu Unit Mini Loji Kuasa Stim, Unit Simulasi Penyulingan Minyak Mentah dan Unit Latihan Loji Perintis Hydrotreater.

“Terbaru intitusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat, MARA itu membangunkan sebuah fasiliti sebenar Loji Simulasi Hiliran Bersepadu di kampusnya di Pasir Gudang, Johor, yang akan mula beroperasi sepenuhnya pertengahan tahun ini.


 
Mahdzir berkata, para pelajar didedahkan kepada fasiliti sebenar yang digunakan dalam industri penapisan petroleum bagi meningkatkan tahap kemahiran selari dengan keperluan industri.

“Walaupun sebagai unit simulasi, fasiliti ini mampu beroperasi seperti operasi sebenar di industri penapisan petroleum,” katanya selepas merasmikan Loji Simulasi Hiliran Bersepadu di kampus UniKL MITEC di sini hari ini.
 
Jelas Mahdzir, pembinaan fasiliti itu bertujuan untuk melatih lebih ramai tenaga berkemahiran tinggi dalam bidang operasi, penyelenggaraan dan keselamatan loji industri minyak dan gas.

Selain itu katanya ia dilengkapi sistem pengesan keselamatan, kebakaran dan kebocoran gas yang merupakan salah satu kandungan utama dalam silibus pembelajaran di UniKL MITEC.
 
“Ianya berupaya memisahkan dua bahan cecair yang bercampur melalui Unit Simulasi Penyulingan Minyak Mentah dan memisahkan bahan cecair dan gas yang bercampur melalui Unit Latihan Loji Perintis Hydrotreater,” katanya.

Tambahnya dengan fasiliti itu juga, membolehkan pelajar UniKL MITEC diiktiraf Persijilan Kompetensi Industri seperti Penganalisa Getaran Tahap 1 yang dikeluarkan oleh Institut Mobius dari Australia serta latihan operasi loji bersama pihak Institut Teknologi Petronas (INSTEP).
 
“Fasiliti yang disediakan ini membolehkan pelajar UniKL MITEC relevan dengan industri dan seterusnya memberikan jaminan peluang pekerjaan yang tinggi bukan sahaja di dalam negara malah di seluruh dunia,” katanya.