Pengerusi MARA: “One Step Forward, One Step Back”

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Baru-baru ini Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (Dr. Asyraf) telah mengeluarkan kenyataan berkenaan dua isu berkaitan agensi yang diterajui oleh beliau.

Yang pertama adalah berkenaan tindakan sesetengah ibu bapa pelajar yang sanggup menipu gaji atau pendapatan mereka semata-mata menginginkan anak-anak mereka mendapat tempat di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Isu kedua pula adalah berkenaan seorang peniaga nasi lemak yang mempunyai tunggakan hutang sewa selama setahun di salah sebuah premis MARA di Johor Bahru.

Sebagai seorang yang pernah berkhidmat sebagai pegawai MARA sebelum ini, jujur saya katakan, semasa diumumkan pada tarikh 12 Mac 2023 bahawa Dr. Asyraf akan mengemudi agensi ini, saya menyangka ia adalah satu langkah yang amat tepat.

MARA adalah satu agensi unik yang berteraskan tiga (3) agenda utama iaitu, pendidikan, keusahawanan dan pelaburan, yang mana Dr. Asyraf sebagai seorang ahli politik, ahli akademik dan juga seorang pakar ekonomi (ekonomi & perbankan) amat layak untuk jawatan tersebut. (Para pembaca boleh “Google” sendiri pencapaian beliau dalam pelbagai bidang ini).

Saya tidak terkejut apabila Dr. Asyraf sebegitu berani telah menyelar ibu bapa yang datangnya dari kalangan kelompok masyarakat T20 yang sanggup menipu gaji/pendapatan mereka semata-mata untuk “mencuri” tempat bagi meletakkan anak-anak mereka di MRSM.

Sebagai seorang ahli akademik yang berkaliber, beliau telah menayangkan taring beliau untuk memperjuangkan hak golongan Melayu/Bumiputera miskin (dan juga kuota 10% untuk golongan bukan Bumipitera miskin) yang layak untuk belajar di institusi pendidikan berkualiti ini.

Ini menunjukkan komitmen beliau untuk terus memerangi sikap buruk sesetengah golongan T20 yang amat kedekut untuk melabur bagi mendapatkan pendidikan berkualiti untuk anak-anak mereka, sehingga sanggup merampas tempat anak-anak yang datangnya dari kelompok B40 yang lebih memerlukan.

Kelantangan Dr. Asyraf berkenaan isu ini sewajarnya diberikan pujian, kerana MRSM tidak boleh dilihat atau dianggap sebagai “Boarding School” semata-mata seperti sekolah-sekolah berasrama lain di Malaysia ataupun serata dunia.

Kita perlu ingat, bahawa tujuan utama MRSM ini yang ideanya dicetuskan pada tahun 1968 dan ditubukan secara rasmi pada tahun 1972 adalah untuk meningkatkan penyertaan orang Melayu/Bumiputera dalam bidang profesional, saina dan teknologi KHUSUS kepada anak-anak yang datangnya dari keluarga yang KURANG BERKEMAMPUAN dan tinggal di LUAR BANDAR.

Jadi fokusnya disini adalah untuk meningkatkan taraf hidup orang Melayu/Bumiputera yang miskin.

Tindakan golongan T20 yang melakukan penipuan untuk membolahkan anak-anak mereka belajar di MRSM adalah satu dosa besar dan pengkhianatan kepada bangsa Melayu.

Di sini kita dapat lihat betapa tingginya iltizam nasionalis Dr. Asyraf yang tanpa ragu-ragu menyelar tindakan jahat sesetengah ibu bapa yang melakukan penipuan seperti ini.

MRSM perlu terus dijadikan wadah pembangunan untuk golongan miskin Bumiputera bagi mendapatkan pendidikan berkualiti, sekalipun mereka datang dari “ulu banat” ataupun dari flat-flat PPRT.

Institusi ini harus dikekalkan syarat kemasukannya seperti itu, kerana ia memberikan satu pentas yang adil dan saksama untuk anak-anak orang miskin yang berpotensi, bagi mengangkat taraf hidup mereka, keluarga dan juga masyarakat Melayu/Bumiputera di negara ini.

Untuk hal ini, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Dr. Asyraf kerana berani menyatakan kebenaran, walaupun sukar diterima oleh sesetengah masyarakat.

Namun begitu, bagi isu kedua, berkenaan penyewa yang gagal membayar sewa selama setahun di premis perniagaan MARA, saya merasakan Dr. Asyraf telah mengambil langkah populis yang tidak wajar.

Premis perniagaan MARA sepertimana semua inisiatif MARA yang lain, bukanlah suatu hak yang dipegang oleh seseorang individu.

Dengan kadar sewa yang jauh lebih rendah daripada pasaran semasa, setiap premis perniagaan MARA disedikan untuk membantu golongan Bumiputera berniaga.

Ianya adalah satu ruang untuk golongan Bumiputera memulakan perniagaan mereka dan seterusnya apabila telah berjaya, untuk keluar daripada premis tersebut, bagi membolehkan individu lain pula memulakan perniagaan mereka.

Perkara ini akan mewujudkan ekosistem pembangunan usahawan yang sihat, yang mana sistem ini akan dapat mewujudkan lebih ramai usahawan Melayu Bumiputera di masa hadapan.

Premis MARA bukanlah harta pusaka yang boleh diwarisi oleh waris penyewa, mahupun dianggap sebagai tempat kebajikan yang membenarkan golongan peniaga yang gagal menjalankan perniagaan mereka untuk terus kekal di premis tersebut, sekaligus menyekat peluang individu lain yang layak dan memerlukan sokongan ini.

Bayangkan, setahun tidak membayar sewa dengan nilai sewaan RM160 sebulan, tetapi masih lagi diberikan kebenaran untuk berniaga di tempat yang sama, apakah tidak cukup lagi sifat Ihsan yang ditunjukkan oleh MARA untuk penyewa tersebut?

Ini menunjukkan MARA telah memberikan budi bicara terbaik mereka bagi membolehkan peniaga ini untuk menyelesaikan masalah mereka, namun masih lagi peniaga tersebut tidak mampu berbuat demikian.

Semata-mata disebabkan masalah peniaga ini menjadi “viral”, Dr. Asyraf telah menyatakan sokongan kepada penyewa tersebut dan akhirnya tempoh sewaan dilanjutkan lagi.

Bagi saya, ini adalah langkah populis yang amat lemah, dan bercanggah dengan ketegasan yang dipamerkan Dr. Asyraf sebelum ini.

Seolah-olah, kita mengambil satu langkah ke hadapan dan satu langkah ke belakang (one step forward, one step back), yang hasilnya adalah kita tidak berganjak dari tempat yang sama.

Saya khuatir ada pihak-pihak lain akan mengambil kesempatan dan menggunakan taktik yang sama, sekaligus menghalang agenda yang lebih besar iaitu, untuk pembangunan keseluruhan masyarakat Melayu/Bumiputera.

Untuk menjayakan aspirasi dan agenda Bumiputera secara efektif, agensi pelaksana seperti MARA perlu tegas.

Ketegasan ini bukanlah bermakna kejam, tetapi ketegasan untuk mendidik bukan sahaja anak-anak yang sedang menuntut di Institusi Pendidikan MARA (IPMA), tetapi juga kepada para usahawan atau mana-mana pihak yang bernaung di bawah MARA.

Pada ketika ini, setiap tindakan agensi-agensi yang melaksanakan agenda tindakan affirmatif (affimative action) sedang diperhatikan dan dikritik hebat oleh ramai pihak.

Oleh yang demikian, janganlah kita sebegitu lemah dan membiarkan perkara yang boleh membantutkan pembangunan bangsa ini berterusan.

Sewajarnya kita bangkit dan membuktikan bahawa bangsa kita adalah bangsa yang “capable” (berupaya) untuk menjadi penyumbang utama kepada kemajuan negara, yang mana perkara ini hanya akan dapat terhasil sekiranya agensi pelaksana bertindak tegas dan jelas dengan misi yang mereka galas.

Kritikan ini bukanlah untuk memperkecilkan usaha lain yang telah dilaksanakan oleh Dr. Asyraf sepanjang beberapa bulan beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi MARA.

Walaupun hanya beberapa bulan di MARA, ketokohan beliau menerajui institusi ini sememangnya terserlah dan wajar diberikan kredit.

Seperti yang saya nukilkan di atas, beliau berada di tempat yang betul, namun saya amat berharap beliau konsisten bukan sahaja untuk mempertahankan institusi ini, tetapi juga bagi memastikan agenda pembangunan Bumiputera akan terus diperkasakan demi masa hadapan yang gemilang untuk kita semua.

Nota:

**Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff adalah seorang peguam yang bertugas di Shah Alam, Selangor.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat