Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 buah pasukan terdiri daripada 145 orang murid daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mempamerkan bakat lakonan menerusi pertandingan Teater Bahasa Melayu SJKC Peringkat Kebangsaan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dekat sini pada Khamis.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pertandingan teater ini menjadi wahana bagi menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, indah, dan tertib.
Malah ia sarat dengan nilai-nilai murni dan teladan yang baik, sama ada secara tersurat mahupun secara tersirat melalui pementasan teater.
“Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
“Ia menjelaskan menjelaskan bahawa Bahasa Melayu tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan, ”kata Aaron ketika berucap pada perasmian penutup pertandingan itu.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris, dan
Presiden Persatuan Pusat Kebudayaan Han Malaysia (HAN) , Dato’ Goh Hin San.
Menurut Aaron, Bahasa Kebangsaan merupakan salah satu ‘tiang seri’ dalam pembinaan negara bangsa yang menekankan kepada elemen kebersamaan dalam kalangan rakyat melalui bahasa.
“Perpaduan yang erat dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan salah satu petunjuk utama dalam pembangunan negara bangsa terutamanya dalam kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Pada masa yang sama, perpaduan juga merupakan petunjuk penting bagi memastikan negara mempunyai ketahanan bagi menghadapi gelombang modenisasi dan kecerdasan buatan (AI) di peringkat global, ”katanya.
“Kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang menjadi medium pengajaran dan pembelajaran telah membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1996).
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen negara kita untuk memelihara dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai satu simbol perpaduan.
“Halatuju ini juga dinyatakan dengan jelas di bawah Dasar Perpaduan Negara (DPN) yang telah digubal oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,”katanya lagi.
“Bahasa Melayu perlu terus dipelihara dan dimartabatkan sebagai bahasa yang mencerminkan identiti nasional serta mampu menyimpul kukuh ikatan perpaduan negara yang berbilang bangsa sebagai bahasa pengantar utama.
“KPN melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khususnya melalui DBP bagi terus memperkasakan Bahasa Kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
“Sebanyak 59,148 judul dan 147,965 naskhah bahan berbahasa Melayu yang telah diterima di bawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331) pada 2018 hingga 2023 dan tersedia untuk rujukan,”ujarnya.
“Program pertandingan teater ini juga menjadi wadah bagi menimbulkan dan menyemai rasa cinta di samping mewujudkan sikap megah berbahasa dalam kalangan pelajar SJKC serta semua pihak sepanjang pertandingan ini.
“Program silang budaya ini adalah amat penting untuk meningkatkan kefahaman, rasa hormat-menghormati, dan saling menghargai antara masyarakat berbilang kaum seiring dengan konsep Faham, Hormat dan Terima yang telah digariskan oleh kementerian ini ,”ujarnya lagi.
”Dengan memartabatkan bahasa kita, kita sebenarnya memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat yang berbilang kaum ini.
“Program pementasan teater ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang bagi memastikan keunikan serta keindahan bahasa, seni dan budaya, serta pengajaran yang dipaparkan ini dapat dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia secara keseluruhannya,”tambahnya.
Menerusi kenyataan oleh KPN memaklumkan, di bawah DPN, Bahasa Melayu perlu terus dipelihara dan dimartabatkan sebagai bahasa yang mencerminkan identiti nasional serta mampu menyimpul kukuh ikatan perpaduan negara yang berbilang bangsa sebagai bahasa pengantar utama.
“Pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh kementerian bagi memartabatkan Bahasa Melayu antaranya, penyediaan perkhidmatan rujukan maklumat Malaysiana kepada masyarakat Malaysia melalui PNM, penganjurkan bengkel Bahasa Melayu untuk Ekspatriat PNM dengan kerjasama Kedutaan dan Pesuruhanjaya Tinggi.
“Antaranya program Kalam Karyawan bagi mengetengahkan keunikan dan keistimewaan hasil karya tokoh ilmuan dan budayawan khususnya mereka yang mendapat pengiktirafan sebagai Sasterawan Negara (SN).
“Selain itu, kursus Bahasa Melayu ‘Biasakan Yang Betul’, ‘Betulkan Yang Biasa’ serta aktiviti bersama komuniti setempat bagi menyemarakkan Bulan Bahasa Kebangsaan melalui Perpustakaan Desa PNM.
“Penganjuran pertandingan pementasan teater Bahasa Melayu ini merupakan kali ke-6 melibatkan kerjasama strategik daripada HAN, DBP, JKKN, serta KPM,”kata kenyataan itu. – SUARA.TV