KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menjelaskan penjualan aset gas di Azerbaijan adalah sebahagian daripada usaha penilaian semula aset dan portfolio perniagaan PETRONAS yang dilaksanakan secara berterusan.

Kata beliau, keputusan ini dibuat berdasarkan penilaian komersial jangka masa panjang, serta pemampatan kos untuk menjamin daya tahan dan kecemerlangan operasi serta komersial.

“Langkah-langkah ini perlu diambil bagi mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh. Dalam hal ini,
bukan sahaja aset di Azerbaijan yang terlibat, malah aset-aset lain yang telah memenuhi potensinya turut diberi pertimbangan, sama ada untuk dijual, atau untuk dikurangan pemilikan aset.

“Keputusan yang diambil oleh PETRONAS adalah bertepatan dengan strategi kumpulan PETRONAS untuk memastikan portfolio huluan yang berfokus, berdaya saing dan mapan.

“Aset di Azerbaijan telah dikenal pasti sebagai salah satu aset untuk dijual atau ‘candidate for exit’ sejak tahun 2019 lagi. Walaubagaimanapun, proses jualan mengambil masa untuk memastikan harga penjualan aset dapat memberikan nilai yang wajar dan berpatutan kepada PETRONAS,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Perdana Menteri memberitahu, 2020 adalah tahun yang amat mencabar dan penjualan aset di Azerbaijan tahun lalu sudah pasti tidak sesuai.

“Penjualan aset ini juga adalah selari dengan strategi tiga serampang PETRONAS iaitu memaksimumkan penjanaan aliran tunai (cash generation); mengembangkan perniagaan teras; dan stepping-out atau menceburi sektor perniagaan baharu.

“Tambahan pula, pembayaran dividen PETRONAS kepada Kerajaan Persekutuan adalah berdasarkan penilaian yang teliti oleh Lembaga PETRONAS. Pembayaran dividen adalah berdasarkan keadaan dan prestasi kewangan semasa.

” Dalam menentukan jumlah dividen yang mampu dibayar, pihak lembaga PETRONAS perlu terlebih dahulu memastikan syarikat mampu dan secara selesa dapat membiayai kos operasi, kos pinjaman, dan membuat pelaburan semula bagi menyokong strategi pertumbuhan jangka masa panjang,” kata beliau.

Susulan itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa kelulusan bayaran dividen RM18 bilion pada Februari 2021 adalah berdasarkan kemampuan prestasi dan pasaran pada tahun 2020 berakhir Disember 2020.

Ujarnya, jumlah ini adalah lebih rendah daripada tahun sebelumnya oleh kerana impak dari pasaran amat lemah dan harga minyak mentah global yang rendah akibat daripada pandemik COVID-19.

Kata beliau lagi, kelulusan dividen tambahan RM7 bilion telah diluluskan pada Julai 2021. Ia adalah berdasarkan kemampuan dan unjuran prestasi pasaran minyak yang lebih baik bagi tahun 2021.

“Bagi tempoh sepuluh bulan pertama, harga Brent mencatat sebanyak kira-kira USD69 setong. Kelulusan bagi penjualan aset Azerbaijan telah dibuat pada 1 Oktober 2021 setelah mendapat kelulusan Lembaga Pengarah anak syarikat PETRONAS, iaitu PETRONAS International Corporation Ltd.

“Oleh yang demikian, penjualan aset Azerbaijan ini sama sekali tidak berkait secara langsung atau tidak langsung dengan keperluan untuk membayar dividen kepada Kerajaan Persekutuan.

“Justeru, Kerajaan sekeras-kerasnya menolak andaian Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa terdapat hubung kait di antara penjualan aset tersebut dengan keperluan membayar dividen.

“Saya ingin memaklumkan seterusnya bahawa PETRONAS telah meraih keuntungan bersih lebih tinggi RM9.3 bilion pada suku tahun 2021 berbanding RM4.5 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu,” katanya.

Jelas Ismail Sabri, prestasi ini disokong oleh pemulihan harga minyak dan gas sejak penularan pandemik COVID-19 yang menjejaskan pendapatan syarikat. Keuntungan bersih lebih tinggi itu juga sejajar dengan kos keseluruhan lebih rendah yang ditanggung oleh kumpulan.

” Sebagai entiti komersial yang ditubuhakan di bawah Akta Syarikat 1965, berasaskan keuntungan, PETRONAS mengamalkan aspek tadbir urus korporat yang baik (good corporate governance) dan ketelusan menerusi barisan kepimpinan eksekutif kanan yang diterajui oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif.

“Segala keputusan syarikat juga akan dibincang dan diteliti oleh barisan lembaga pengarah dan Pengerusi PETRONAS yang terdiri daripada ahli teknokrat dan pegawai kanan kerajaan yang berpengalaman luas dalam bidang kepakaran masing-masing,” kata Perdana Menteri.

Beliau menegaskan realitinya bahawa PETRONAS mampu membayar dividen sebanyak RM25bilion dan komited untuk terus
menyumbang kepada masyarakat. Bagi memastikan komitmen ini tercapai, PETRONAS telah membuktikan kemampuan untuk
menghasilkan aliran tunai yang kukuh.

” PETRONAS akan terus memainkan peranan penting dalam menjana masa depan Malaysia dengan penyelesaian tenaga yang lebih bersih (clean energy solutions), inovatif dan kompetitif sejajar dengan aspirasi ”Net Zero Carbon Emission 2050”.

” PETRONAS juga sentiasa melaporkan prestasi kewangan dan operasi serta perkembangan dan pencapaian syarikat melalui
laman sesawang www.petronas.com. Maklumat-maklumat ini boleh diakses oleh Ahli Parlimen Port Dickson dan semua pihak
bertepatan dengan kredibiliti dan ketelusan PETRONAS sebagai syarikat minyak milik negara (NOC),” beritahunya lagi.

Untuk makluman Ismail Sabri berkata, PETRONAS telah menyumbang hampir RM1.2 trilion sejak tahun 1976 kepada pembangunan
negara, termasuklah ketika negara bergelut dengan pandemik Covid19. Sumbangan ini telah disalurkan kepada kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri, kutipan cukai, dan pembayaran tunai.

” Saya juga ingin memaklumkan PETRONAS sentiasa menyokong aspirasi dan pembangunan negara menerusi pemberian biasiswa
kepada pelajar yang layak. Sehingga Ogos 2020, sejumlah 36,000 pelajar di peringkat pengajian tinggi telah menerima manfaat daripada Program Penajaan Pendidikan PETRONAS membabitkan peruntukan melebihi RM3 bilion sejak diperkenalkan pada tahun 1975.

” Perkara-perkara yang saya perincikan membuktikan bahawa penjualan aset gas di Azerbaijan tidak menjejaskan kedudukan
kewangan syarikat yang boleh menjejaskan masa hadapan PETRONAS.

“Sebaliknya, pelaburan dan keputusan komersial yang diambil oleh syarikat telah membantu mengimbangi cabaran dihadapi khususnya penurunan pendapatan disebabkan pelbagai faktor luar kawalan syarikat. PETRONAS juga kekal komited dalam
menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara,” jelas Ismail Sabri panjang lebar.

Terdahulu, Dewan Rakyat, hari ini, membenarkan usul Ketua Pembangkang berhubung penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan dengan harga hampir RM10 bilion.

Persetujuan itu diberikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun selepas meneliti usul terbabit.

Beliau berkata, usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Port Dickson itu akan dirundingkan dalam satu kamar khas pada jam 2.30 petang tadi.

Anwar mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kelmarin.

Azhar membuat keputusan itu selepas meneliti usul yang dikemukakan oleh Anwar bahawa di bawah perkara tertentu, kepentingan orang ramai serta perlu disegerakan.

Anwar sebelum itu memohon usul laporan Petronas menjual aset gas di Azerbaijan dengan harga hampir RM10 bilion dibahaskan di Dewan Rakyat.

Ia berikutan desakan menaikkan bayaran dividen Petronas sebanyak RM25 bilion kepada kerajaan bagi tahun ini.

Menurut Anwar, penjualan aset di Azerbaijan dan pembayaran dividen kepada kerajaan menjejaskan masa depan Petronas.

Petronas dilapor menjual keseluruhan 15.5 peratus kepentingannya dalam projek gas asli Shah Deniz di sektor Azerbaijan di Laut Kaspia kepada syarikat minyak dan gas Rusia LUKOIL dengan harga RM9.41 bilion (AS$ 2.25 bilion).

LUKOIL dalam satu kenyataan berkata, penyelesaian transaksi itu bergantung pada penentuan syarat-syarat sebelumnya, termasuk persetujuan oleh SOCAR, syarikat minyak negara Azerbaijan.

Menurut laporan The Edge Markets, ekuiti LUKOIL dalam projek itu akan meningkat daripada 10 peratus kepada 25.5 peratus setelah selesai penjualan.