Pajakan kepada FGV tidak babit tanah peneroka FELDA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) menjelaskan bahawa tanah yang dipajakkan kepadanya menerusi Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) tidak membabitkan tanah yang diusahakan oleh peneroka FELDA.

Syarikat perladangan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, LLA yang ditandatangani pada 1 November 2011 menetapkan bahawa aset-aset yang terbabit adalah ladang-ladang yang tidak termasuk tanah yang diusahakan oleh peneroka Felda sedia ada, dan juga tidak termasuk kilang-kilang kelapa sawit milik FGV.

“Merujuk kepada kenyataan media yang dibuat pada 20 Oktober lalu, FGV ingin memberi penjelasan lanjut mengenai LLA antara FGV dengan FELDA. Tanah yang dipajakkan kepada FGV tidak membabitkan tanah yang diusahakan oleh peneroka FELDA.

“Pada masa ini keluasan tanah FELDA berjumlah lebih daripada 850,000 hektar dan tanah yang dimiliki oleh peneroka Felda berjumlah 450,632 hektar. Tanah milik FELDA yang dipajakkan kepada FGV berjumlah 350,733 hektar,” katanya.

Mengulas mengenai hubungan di antara FGV dan FELDA selepas Tawaran Awam Permulaan (IPO), syarikat perladangan itu berkata, sehingga 28 Ogos 2020, pegangan saham FELDA adalah sebanyak 21.24 peratus dan pegangan saham Felda Asset Holdings Company Sdn Bhd (FAHC) adalah sebanyak 12.42 peratus.

Oleh itu katanya, wakil FELDA berada di dalam Lembaga Pengarah FGV.

“Pegangan saham Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) pula adalah sebanyak 4.751 peratus. Pada 29 Jun 2018, nama syarikat telah ditukar menjadi FGV Holdings Bhd dengan persetujuan semua pemegang-pemegang saham.

“FGV menyediakan perkhidmatan, sokongan teknikal dan bahan penanaman untuk ladang-ladang, peneroka-peneroka dan pekebun kecilnya. Peneroka FELDA pula membekalkan Tandan Buah Segar (TBS) ke kilang-kilang kelapa sawit milik FGV,” katanya.

Di dalam LLA, telah dinyatakan bahawa jumlah yang perlu dibayar kepada FELDA adalah RM248 juta (berdasarkan jumlah hektar tanah) serta 15 peratus daripada keuntungan operasi dari tanah LLA setiap tahun.

“Bermula dari 2016, terdapat penurunan pembayaran tetap LLA kepada FELDA kerana penyesuaian jumlah hektar tanah yang dipajakkan.

“Penurunan ini disebabkan oleh beberapa perkara termasuk pengambilan tanah oleh FELDA, penyerahan tanah kepada FELDA untuk tujuan perlombongan, pencerobohan ke tanah pihak ketiga, pertindihan tanah kilang serta proses perdamaian antara hak milik tanah dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

“Kami ingin memaklumkan bahawa buat masa ini, FELDA masih belum menghubungi FGV mengenai LLA. FGV bersedia mengikuti prosedur yang telah digariskan dalam LLA, sekiranya kami menerima notis daripada FELDA mengenai perkara ini.

“Kami akan membuat pengumuman yang sewajarnya pada waktu yang sesuai sekiranya terdapat perkembangan mengenai perkara ini,” katanya.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat