Rakyat perlu diberi peluang saksama nikmati transformasi teknologi – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Transformasi teknologi tidak akan mapan bagi sesebuah negara jika setiap rakyat tidak diberi peluang saksama untuk menikmati perubahan yang berlaku, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memetik laporan BH, Perdana Menteri menjelaskan, dalam falsafah Madani setiap sesuatu perubahan itu terutama melibatkan dari segi capaian internet, perlu dinikmati oleh semua rakyat di bandar hingga Sabah dan Sarawak.

“Kita tidak boleh mapan jika kita hanya melihat dari segi perubahan dan transformasi teknologi tanpa keprihatinan dan ihsan, dan memastikan setiap rakyat di negara ini mendapat peluang itu.

“Pelaksanaan rangkaian 5G ini secara keseluruhannya jelas menunjukkan yang ia bukan hanya mengenai teknologi tetapi mengenai memastikan, dari setinggan dan rakyat miskin di bandar sehingga ke kawasan paling terpencil di Sabah serta Sarawak perlu diberi peluang kepada capaian.

“Jika tidak, pada pandangan saya, ia tidak mapan. Kemapanan bukan hanya untuk manfaat segelintir elit bandar dan pemerintah tetapi ia bermakna setiap rakyat akan mendapat manfaat,” katanya, ketika merasmikan majlis penutup Sidang Kemuncak Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) Malaysia 2023 di ibu negara, hari ini.

Turut hadir di majlis itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Ketua Asia Pasifik Persatuan GSM (GSMA), Julian Gorman dan Presiden Huawei Asia Pasifik, Simon Lin.

Selain itu, Perdana Menteri turut menegaskan, kerajaan pimpinannya tidak menggunakan faktor perkauman dalam memastikan setiap rakyat mendapat hak serta manfaat.

“Perlembagaan sudah menyatakan dengan jelas bahawa Melayu, Bumiputera akan dilindungi, untuk negara berjaya dan matang, kita tidak boleh menggunakan isu kaum.

“Kita mesti memastikan setiap kaum Melayu, Cina, India, Sabah atau Sarawak juga diberikan hak mereka untuk tinggal di negara ini,” katanya.

Tegasnya lagi, Malaysia mahukan yang terbaik untuk pembangunan dan rakyatnya, justeru itu ia tidak hanya tertumpu kepada kemajuan teknologi dari Barat, tetapi juga negara serantau seperti China dan India.

“Perubahan dasar, politik dan ekonomi memberi kesan kepada negara dan kita melihat pertumbuhan pesat kemajuan internet China dan India.

“Kita perlu sebagai negara yang bebas, cukup berani untuk membuat keputusan mengenai apa yang terbaik untuk negara kita,” katanya.

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat