Kenyataan Muhyiddin Berkaitan BN Musuh Utama Disalah Tafsir, Kata Sayap Bersatu

- Advertisement -

KANGAR – Kenyataan dikeluarkan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengingatkan Barisan Nasional (BN) merupakan musuh untuk ditentang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak.

Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Malaysia, Dr. Chong Fat Full berkata, kenyataan yang dikeluarkan Muhyiddin itu bukannya bertujuan untuk memecah-belahkan masyarakat Islam di negara ini sebaliknya bagi menaikkan semangat ahli parti.

Katanya, kenyataan Muhyiddin itu juga dikeluarkan buat ahli parti dalam satu majlis politik dan bukannya khusus untuk masyarakat umum.

“Kenyataan itu merupakan salah satu strategi politik Bersatu bagi menaikkan semangat ahli, namun, disalah tafsir oleh pihak tertentu.

“Bila disebut musuh, bukan bermaksud kita berperang, namun, ia adalah musuh politik dan pada bila-bila masa pun kita dapat berkawan juga,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Sayap Bersekutu Bersatu Peringkat Negeri Perlis di pekarangan Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis di sini hari ini.

Sewaktu berucap pada majlis sambutan ulang tahun keenam Bersatu di Putrajaya sebelum ini, Muhyiddin mengingatkan ahli partinya bahawa BN adalah musuh utama gabungan itu yang perlu dilawan pada PRU15.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, parti komponen dalam PN perlu bergerak sebagai sebuah pasukan dan memiliki hala tuju yang sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan mengenai pertemuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Perkembangan tersebut sekali gus menguatkan cakap-cakap Muafakat Nasional (MN) dihidupkan kembali bagi mengelakkan pertembungan pada PRU15.

Mengulas mengenai pelancaran itu, Fat Full berkata, sayap Bersekutu Bersatu akan memberi fokus bertanding di kerusi-kerusi berpotensi yang ditandingi parti MCA, MIC, DAP dan PKR dalam PRU15.

“Namun, kita serah keputusan muktamad berpandu kepada rundingan pemimpin tertinggi parti dan saya merasakan kami akan mengambil jumlah kerusi yang praktikal untuk ditandingi pada PRU15,” katanya.

Tambah beliau, sayap Bersekutu Bersatu mempunyai beberapa kerusi tumpuan namun perkara itu tidak dapat didedahkan buat masa ini memandangkan ia merupakan strategi parti bagi berdepan lawan dalam PRU15.

“Buat masa ini, kita memang sudah bermula dengan membuat analisa kawasan tumpuan untuk ditandingi nanti,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat