‘Cabaran kembalikan kegemilangan nasyid’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Di bahu mereka terpikul tanggungjawab besar mengembalikan kegemilangan irama nasyid seperti yang pernah dikecapi lebih dua dekad lalu.

Sebagai kumpulan nasyid generasi baharu, merekalah yang menjadi harapan penggiat irama itu untuk meneruskan legasi biarpun cabaran menanti cukup besar.

BH Online mendekati dua kumpulan nasyid iaitu Rabithah dan Zayne yang dianggap sebagai antara pelapis berpotensi berdasarkan faktor populariti dan pencapaian mereka.

Anggota kumpulan Rabithah, Hakim Sufian mengaku faktor tidak berani membuat pembaharuan dan kualiti yang tidak sama dengan kumpulan nasyid ‘otai’ menyukarkan impian memasyhurkan semula irama itu.

“Antara faktor mengapa kumpulan nasyid generasi baharu tidak mampu ke depan adalah kerana kurang membuat persembahan ‘on the ground’ atau bersemuka.

“Ini menyebabkan kualiti mereka tidak teruji. Malah, persembahan mereka sukar diingati disebabkan kurang bermutu berbanding kumpulan nasyid ‘otai’.

“Zaman nasyid dahulu, mereka berdiri sahaja sudah memadai. Namun, pelapis sekarang tidak boleh berbuat begitu dan perlu ada gaya tersendiri selain berani melakukan pembaharuan.

“Pendengar sekarang tidak perlukan klon. Itulah yang menjadi cabaran besar untuk kumpulan nasyid seperti kami,” katanya.

Selain Hakim, kumpulan Rabithah yang dianggotai Rdwan Rais, Ayman Hakimi dan Mahdi Rabithah pernah meraih tiga kedudukan teratas dalam kategori Artis Nasyid Pilihan pada Anugerah Nasyid Malaysia 2020, Disember lalu.

Hakim atau nama penuh, Mohd Hakim Mohd Sufian berkata, strategi pemasaran terancang dan kerjaya sepenuh masa dianggap perkara paling asas dan penting untuk memacu industri nasyid.

“Apabila saya berbual dengan penyanyi nasyid ‘senior’, mereka beritahu bajet besar dan menjadikan bidang ini sebagai karier tetap adalah formula untuk mengembalikan kegemilangan muzik genre ini.

“Saya bersetuju dengan pandangan itu kerana untuk menghasilkan lagu berkualiti, kena ada wang kerana kos pembikinan sangat besar.

“Perkara ini ada logiknya. Kalau kita lihat, kejayaan kumpulan nasyid ‘senior’ banyak dibantu syarikat rakaman terutama label antarabangsa yang sanggup mengeluarkan belanja besar untuk pemasaran dan promosi,” katanya.

Biarpun terdedah dengan media sosial sebagai salah satu pelantar mempromosikan kerjaya seni, namun, penyanyi berusia 30 tahun ini menegaskan media sosial tidak boleh dijadikan kayu pengukur kejayaan irama nasyid.

“Kami gunakan platform Instagram (IG) dan saluran Youtube untuk berinteraksi dengan pengikut media sosial sahaja.

“Kami tidak pernah menganggap media sosial dan jumlah tontonan yang diperoleh sebagai penanda aras kejayaan muzik nasyid,” katanya.

 

Kumpulan Rabithah berpendapat faktor tidak berani membuat pembaharuan dan kualiti tidak sama dengan kumpulan nasyid ‘otai’ menyukarkan impian memasyhurkan semula irama itu.
Kumpulan Rabithah berpendapat faktor tidak berani membuat pembaharuan dan kualiti tidak sama dengan kumpulan nasyid ‘otai’ menyukarkan impian memasyhurkan semula irama itu.

 

Bagi anggota kumpulan Zayne, Matin Muzzamil Mohd Ya’acob atau Matin, persaingan dengan genre muzik lain menjadi punca mengapa industri nasyid sukar berkembang.

“Ketika irama nasyid mula bertapak, lagu Puji-Pujian nyanyian kumpulan Raihan dilihat sebagai sesuatu yang baharu pada masa itu.

“Lumrah sesuatu yang baharu, pendengar akan mudah teruja. Daripada situlah irama nasyid terus berkembang.

“Malah, boleh dikatakan irama nasyid mendominasi industri hiburan pada masa itu apabila banyak kumpulan nasyid dilahirkan label antarabangsa dan tempatan.

“Bagaimanapun, seiring peredaran zaman, aliran muzik semakin berubah. Begitu juga dengan cita rasa pendengar kerana mereka ada banyak pilihan.

“Kemasukan budaya K-Pop menerusi drama dan lagu memberi persaingan kepada muzik nasyid ketika itu.

“Bukan itu sahaja, irama nasyid berdepan dengan populariti genre muzik arus perdana lain seperti pop, balada dan rap yang dilihat menguasai carta muzik tempatan sekarang,” katanya.

Turut menganggotai Zayne yang juga anak didik kepada kumpulan popular Inteam ini adalah Muhammad Furqan Fawwaz Salleh Sani, Ahmad Naufal Azrin, dan Abdul Basit Zulkipli.

Matin berkata, sifat skeptikal pendengar terhadap irama nasyid menyukarkan usaha memperluaskan genre muzik itu kepada golongan muda.

“Dahulu irama nasyid mungkin boleh diterima segenap lapisan usia dan masyarakat. Tetapi hari ini, kalau ada yang mendengar lagu nasyid, mereka akan dicop sebagai orang ‘baik-baik’.

“Apabila ada pandangan begitu, mereka yang suka nak dengar irama nasyid pun akan jadi segan kerana tidak mahu dilabelkan seperti itu,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat