PM Mahu Rombak Struktur Ekonomi, Malaysia Destinasi Pelaburan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Merealisasikan hasrat Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia, Perdana Menteri mencadangkan agar struktur ekonomi perlu dirombak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara isu yang membelenggu sistem ekonomi termasuklah masalah sektor perindustrian yang menguncup sebelum masanya.

“Ekonomi Madani adalah untuk membawa Malaysia menjadi peneraju ekonomi Asia. Bagi mencapai hasrat ini, struktur ekonomi perlu dirombak.

“Antara isu yang membelenggu sistem ekonomi termasuklah masalah sektor perindustrian yang menguncup sebelum masanya. Umpamanya, sektor pembuatan telah merosot di bawah paras 25 peratus kepada KDNK.

“Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) yang bakal diumumkan pada bulan hadapan akan memacu semula perindustrian dan memangkin ekonomi baharu.

“Dalam jangka masa pendek, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang bakal dibentangkan di Parlimen akan memberi ruang untuk kerajaan membuat penilaian semula dan menyusun keutamaan, termasuk mengadun sebuah pertumbuhan jangka sederhana dengan dasar fiskal yang lebih mampan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat pada Khamis.

Menurut Menteri Kewangan itu lagi, Malaysia perlu meneladani negara-negara yang dahulunya jatuh, tetapi tangkas dan bangkit semula di hadapan.

Ujarnya, mahu tidak mahu, kita mesti menjadi jaguh ekonomi serantau.

“Kita perlu punyai minda global dan mengutama pengantarabangsaan ekonomi. Dengan demikian, kita mampu mencapai sasaran yang ditetapkan untuk muncul sebagai 30 ekonomi terbesar di dunia dalam jangka masa sederhana.

“Jika kita hanya berpuas hati dengan keadaan sekarang, ekonomi akan terus mencatat pertumbuhan antara 4 hingga 5 peratus. Namun, jika kita berusaha gigih dan melaksana pembaharuan, kita mampu mencapai 5.5 peratus, malah saya percaya adalah tidak mustahil untuk kita menghasilkan pertumbuhan 6 peratus,” katanya.

Tegas Anwar, untuk merealisasikan sasaran besar ini Malaysia perlu membentuk integrasi ekonomi yang lebih besar dengan negara jiran lebih-lebih lagi dunia sedang berdepan dengan kekangan rantaian bekalan.

“Maka, kita perlu melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing tinggi untuk menembusi pasaran rantau ASEAN.

“Usaha kita sekarang perlu melangkaui perjanjian perdagangan bebas. Misalnya melalui diplomasi perdagangan dan pengaturan strategik yang boleh mengembangkan integrasi pasaran bilateral dan multilateral serta memudahkan pergerakan barang, modal, modal insan dan perkongsian teknologi dengan negara jiran,” kata beliau.

Selama ini, menurut Anwar Malaysia tertumpu kepada aktiviti sektor utama seperti elektrikal dan elektronik (E&E) dan kimia secara keseluruhan. Melangkah ke depan, misi baharu perindustrian di bawah NIMP akan menumpukan aktiviti dengan nilai tambah tinggi atau kecanggihan ekonomi.

“Misalnya, kluster di Pulau Pinang perlu menumpukan kepada aktiviti E&E bernilai tinggi seperti Integrated Circuit (IC) design.

“Sektor kimia pula, perusahaan petrokimia serta oleokimia perlu memberi tumpuan kepada aktiviti pembuatan kimia khusus (specialty chemicals).

“Kerajaan akan memperkenalkan insentif cukai berasaskan pencapaian bagi mendukung dan memberi ganjaran kepada syarikat yang menumpukan aktiviti berdampak tinggi,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri mahu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

“Kita mesti melaksanakan pembaharuan supaya Malaysia dapat tergolong antara 12 ekonomi terbaik di dunia dari segi daya saing dan
“ease of doing business”. Maka, seharusnya diuar-uarkan ke seluruh pelosok dunia bahawa, Malaysia terbuka dan bersedia menerima
kehadiran para pelabur dan perniagaan.

“Alhamdulillah, setakat ini beberapa syarikat telah menzahirkan komitmen pelaburan antaranya Sumitomo Corporation, Tesla, Rongsheng
dan Samsung Engineering.

“Kita perlu memperhebat usaha bagi memastikan lebih banyak lagi memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan. Tumpuan akan diberikan
bagi memperkukuh agensi galakan pelaburan di bawah MIDA dengan tumpuan untuk mempergiatkan usaha menarik pelaburan dengan memudah cara urusan pelabur secara lebih proaktif.

“Mengkaji semula insentif pelaburan supaya tertumpu kepada galakan pelaburan yang menjana pekerjaan berpendapatan tinggi serta daripada sumber tempatan; dan menaik taraf kawasan perindustrian dengan prasarana lengkap serta meningkatkan pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan pelabur.

“Antaranya sektor petrokimia di Kerteh, Terengganu dan ; pusat data di Sedenak, Johor dan industri hiliran getah di Kuala Nerang, Kedah. Sebagai permulaan, RM100 juta disediakan bagi usaha melengkapkan infrastruktur kawasan perindustrian terutamanya prasarana berkonsepkan hijau,” katanya.

Pada masa yang sama katanya, pelaburan langsung domestik (DDI) turut ditetapkan sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) bagi
pencapaian pelaburan negara.

“Kita perlu mengantarabangsakan syarikat pemula dan PKS tempatan. Kerajaan akan menumpukan usaha yang menyokong hasrat ini.

“Antaranya termasuklah melahirkan lebih banyak syarikat berjaya seperti Aerodyne dan Les Copaque melalui galakan kepada syarikat pemula dan PKS Bumiputera menceburi bidang pertumbuhan baharu. GLC dan GLIC perlu terus memacu pelaburan DDI dan menyokong pembangunan vendor tempatan dalam sektor strategik, seperti E&E, ekonomi digital dan aeroangkasa.

“Meningkatkan pembiayaan bagi memacu pertumbuhan eksport termasuk Program Pembangunan Syarikat Pertengahan serta Geran Pembangunan Pasaran (MDG) oleh MATRADE dengan peruntukan tambahan 20 juta ringgit.

“Pasaran modal juga perlu lebih rancak dengan membawa lebih banyak penyenaraian syarikat seterusnya melahirkan ‘unicorn’ tempatan baharu. Sistem perbankan dan pasaran modal hendaklah bertindak pantas dalam memenuhi keperluan pembiayaan perniagaan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat