KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju menawarkan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun ke bawah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif ini membabitkan peruntukan sekitar RM1 bilion akan memanfaatkan lebih 10 juta rakyat berusia 21 tahun ke atas yang merangkumi golongan B40 dan M40.
“Kejayaan pelaksanaan Program eBeliaRahmah (eBR), bukan sahaja memanfaatkan 2 juta belia, malah membantu sektor perniagaan menjana pendapatan mereka di samping membina sebuah masyarakat cashless.
“Melihat akan kejayaan dan impak besar program e-tunai kepada masyarakat, Kerajaan bersetuju untuk menawarkan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.
“Bilangan penerima yang layak dianggarkan melebihi 10 juta rakyat iaitu merangkumi golongan B40 dan M40 dengan dana sekitar RM1 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat pada Khamis.
Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kira-kira 79 peratus Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS )terdiri daripada perniagaan mikro.
“Walaupun kebanyakannya ialah pemilik tunggal atau mewarisi perniagaan keluarga, mereka punyai potensi berkembang lebih besar dan menembusi pasaran luar andai diberi dorongan dan kemudahan sewajarnya.
“Belanjawan Madani 2023 mengandungi lebih 70 inisiatif untuk perniagaan mikro dan kecil yang tertumpu kepada akses pinjaman dan jaminan pembiayaan, banyak lagi yang mesti dilakukan,” katanya.
Tambah beliau, Kementerian Ekonomi telah memulakan pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat bertujuan untuk memperkukuh rantaian bekalan perniagaan.
“Kerajaan amat mengalu-alukan syarikat pemula Malaysia seperti PolicyStreet, Dropee, Lapasar, dan Funding Societies yang boleh menjadi agen perubahan sektor PMKS melalui penyediaan pembiayaan alternatif seperti equity crowdfunding.
“Usahawan PMKS bergantung kepada permintaan domestik bagi meningkatkan hasil,” ujarnya.



