KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar bahawa Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat adalah wadah mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara.
Menurut beliau matlamat akhir kepada Ekonomi Madani ialah akan memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih bermutu.
Jelas Menteri Kewangan itu, ia perihal mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan dua tumpuan utama iaitu menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia; dan akhirnya memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.
“Ini merupakan sebuah rencana menyeluruh dan teliti bagi menghadapi pelbagai tantangan saat ini mencakupi isu-isu jangka panjang terkait daya saing dan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan; dan juga isu-isu semasa yang perlu segera ditangani seperti kenaikan kos sara hidup yang mengesankan rakyat.
“Seperti semua maklum, pelbagai ikhtiar telahpun mula dilaksanakan khususnya di bawah Belanjawan Madani 2023 dan siri pengumuman rasmi sejak pentadbiran saya mengambil alih kerajaan,” katanya ketika berucap di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada Khamis.
Kata Anwar lagi, Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat akan menjadi induk kepada beberapa lagi dasar khusus yang akan diumumkan kelak antaranya termasuklah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.
“Ekonomi Madani menetapkan sasaran jangka pendek yang sudahpun digerakkan bagi menangani isu-isu segera yang mengesankan
rakyat.
“Ini termasuklah menyegerakan pelaksanaan projek sekolah dan klinik daif. Pelbagai usaha kita lakukan: tambah peruntukan, mudahkan tatacara perolehan serta turunkan kuasa pelaksanaan bagi mempercepat pelaksanaan projek-projek sekolah dan klinik daif.
“Menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini juga. Usaha telah digerakkan melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) supaya isi
rumah miskin tegar punyai peluang meningkatkan pendapatan mereka, dan tidak hanya semata-mata menerima bantuan tunai
langsung.
“Konsep Payung Rahmah turut diperkenalkan dan akan terus diperkukuh bagi menangani cabaran kos sara hidup. Payung Rahmah diketahui sebagai cetusan idea Allahyarham saudara Datuk Seri Salahuddin Ayub. Semua yang mengenali beliau amat
terkesan sekali dengan pemergian tokoh hebat ini.
“Kerja keras dan kesungguhan beliau dalam menangani beban sara hidup rakyat akan menjadi pembakar semangat untuk kita semua melakukan yang terbaik untuk Malaysia tercinta,” kata Perdana Menteri.