KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini mendedahkan pengakuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyokong beliau menjadi Perdana Menteri pada 2008 yang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong telah dipermainkan.

Menurut beliau, tindakan parti pemerintah pada 2008 mempamerkan integriti politik yang begitu parah.

Oleh yang demikian, Anwar mengharapkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat direalisasikan bagi mengembalikan politik bermaruah di negara ini.

Anwar menyingkap peristiwa politik yang berlaku pada 2008 apabila terdapat ahli-ahli Parlimen dari blok pembangkang dan kerajaan telah menandatangani SD menyokong beliau menjadi Perdana Menteri dan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong namun ia telah diketepikan oleh pemerintah ketika itu.

“Jadi saya nak tegaskan termasuk pengakuan bersumpah yang ditandatangani dan yang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri itu bukan lompat parti, tidak lompat parti…mereka kekal bersama parti mereka.

“Saya tidak usulkan mereka lompat parti, ramai ada di sini (Dewan Rakyat). Tapi saya nak tunjukkan yang kedudukan dan integriti politik begitu parah sehingga pengakuan bersumpah kepada Agong pun boleh dipermainkan oleh mereka,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan, sokongan ahli-ahli Parlimen terhadap beliau pada ketika itu tidak melibatkan pertukaran parti.

Sebaliknya, hanya pendirian mereka menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

“Baguslah tu terima kasih. Oleh itu, maruah politik ini dikembalikan dengan dengan anti lompat parti,” ujarnya.

Tambah beliau, pada 2008 beberapa ahli Parlimen menyokong usul undi tidak percaya ia tiada kena mengena dengan lompat parti.

“Dan oleh kerana itu, perdana menteri pada ketika itu enggan mengizinkan sidang Parlimen dan menerima undi tidak percaya dan Speaker seperti biasa patuh kepada perdana menteri.

“Berhubung dengan itu maka ada pesawat khas bawa ahli-ahli Parlimen untuk belajar pertanian di Taiwan.

“Jadi tidak ada usul, sogokan wang ringgit dan tidak ada. Apatah lagi jaminan kedudukan kepada mereka kerana ini melibatkan 40 orang,
Takkan janji nak jadi 40 menteri? bidas Presiden PKR itu lagi.

Untuk rekod media melaporkan pada 2014, setelah bertahun-tahun dinafikan pemimpin Barisan Nasional (BN), termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, seorang ahli Parlimen BN akhirnya mengaku bahawa 40 MP telah dihantar melawat Taiwan sebelum 16 September 2008 untuk menghalang mereka daripada melompat ke Pakatan Rakyat.

Semasa pemeriksaan balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata lawatan itu bertujuan untuk menghentikan dalang 16 September, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada mendatangi mereka.

Peguam Ranjit Singh bertanya sama ada lawatan itu dibuat bagi mengelak Anwar.

“Ya,” balas Kiandee, yang turut menyertai lawatan itu bersama sembilan rakannya dari Sabah.

“Adakah lawatan itu dibuat untuk mengelak 16 September daripada berlaku?” tanya peguam itu lagi.

“Ya,” kata Kiandee lagi sambil menambah lawatan itu dianjurkan oleh kelab penyokong kerajaan BN.

Dalam perkembangan lain, menurut Anwar RUU Anti Lompat Parti yang dibentangkan dapat menghindari perkara itu daripada berterusan.

“Apa yang berlaku dalam Langkah Sheraton ialah existential problem.

“Orang yang maha kaya dan maha berkuasa boleh menentukan corak kerajaan semata-mata kerana wang ringgit mereka atau kerana kuasa yang ada pada mereka dan janji politik yang tidak ada honour,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu lagi.

Anwar juga mengakui Langkah Sheraton terjadi berpunca daripada perselisihan antara beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar akui krisis itu berlaku kerana Mahathir berlengah melepaskan jawatan Perdana Menteri untuk diserahkan kepadanya.

Pun begitu kata Anwar, Mahathir juga antara yang menandatangani sokongan menyokong beliau menjadi Perdana Menteri kemudiannya.