Rombak, olah dokumen RMK13 bakal cetus kebimbangan penjawat awam, penganalisis pasaran dan rakyat – Rafizi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) adalah dokumen penting untuk negara dan rakyat yang dibangunkan oleh ribuan rakyat dari segenap lapisan masyarakat namun jika tidak berhati-hati, mengheret RMK13 menjadi polemik politik akan melunturkan keyakinan rakyat kepada dokumen akhir RMK13.

Mengambil maklum perkembangan terbaharu bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli merujuk kenyataan media oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengenai keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diberi tugas untuk “mengolah dan merombak semula” intipati naskhah RMK13.

“Ekoran kenyataan itu, saya dihubungi oleh pihak media mengenai pandangan saya kerana ia memberi gambaran draf asal RMK13 yang telah dibangunkan sejak September 2024 akan diubah secara besar-besaran.

“Jika ini berlaku, ia satu ketidakadilan besar kepada mereka yang bertungkus lumus bekerja berbelas jam sehari sejak setahun lepas.

“Oleh itu, kenyataan untuk “merombak semula dan mengolah” RMK13 sudah tentu mengundang kebimbangan (di kalangan penjawat awam, penganalisis pasaran yang memantau dasar negara dan rakyat keseluruhannya).

“Adakah ini bermakna rombakan semula ini akan dibuat secara tergesa-gesa kerana tiada masa untuk merujuk semula kepada IAPG, TWG dan pakar-pakar? Kenapa isu “merombak semula draf RMK13” ini timbul di saat akhir sedangkan tiada isu “rombakan semula” yang dibangkitkan sepanjang saya dan Kementerian Ekonomi membentangkan intipati RMK13 sebelum ini?

“Saya bimbang kerajaan mengambil sikap reactionary (bersikap reaktif) hanya kerana ada beberapa ciapan balas kepada Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengenai RMK13 beberapa hari kebelakangan ini.

“Ada netizen yang membincangkan mengenai RMK13 dan membalas ulasan beliau yang dilihat cuba memadamkan terus penglibatan saya dalam penyediaan RMK13,” ujar Rafizi dalam kenyataan pada Jumaat.

Memperincikan perkara itu Ahli Parlimen Pandan itu berkata, RMK13 adalah dokumen dasar yang penting dan menjadi gam yang mengikat dasar, program dan sasaran negara bagi tempoh lima tahun.

Ujarnya, kerajaan bertukar ganti, tetapi setiap kerajaan yang mengambil alih perlu berpandukan gagasan Rancangan Malaysia, kecuali kerajaan itu kembali ke Parlimen untuk meminda RMK yang telah diluluskan Parlimen.

“Sebab itu prosesnya adalah panjang dan tidak bersifat politik.

“Proses penyediaan RMK13 bermula dengan Persidangan Permulaan RMK13 pada 5 September 2024. Seterusnya, proses “bottom up” (mendapat maklum balas dan dapatan dari semua pemegang taruh) bermula melalui tiga kaedah: IAPG (Inter Agency Planning Group) – setiap kementerian dan agensi mempunyai perancang (selalunya dari bahagian dasar) yang mewakili kementerian/agensi dalam merangka dasar dan program yang ingin diketengahkan.

“Seterusnya TWG (Technical Working Group) – ada kumpulan dalam bidang khusus yang melibatkan pakar-pakar yang membangunkan dasar dan program. Contohcontoh TWG khusus termasuklah Govtech, Penskalaan Industri Mikro, Kecil Sederhana (PMKS), Reformasi Fiskal, Reformasi Pendidikan, Reformasi Kesihatan, RDICE dan lain-lain; Sesi Libat Urus (SLU) – ada proses khusus di antara Kementerian Ekonomi dan kerajaan-kerajaan negeri, pihak industri dan ahli Parlimen (yang berlangsung dari September hingga Disember 2024).

“Kesemua maklumat mengenai proses “bottom up” ini boleh didapati dari laman Kementerian Ekonomi mengenai RMK13 iaitu https://rmk13.ekonomi.gov.my/ Pada masa yang sama, proses “top down” iaitu pembangunan dasar utama yang dikira
berani dan radikal (bold and radical) berjalan serentak melibatkan Kementerian Ekonomi dan pakar-pakar.

“Dasar-dasar ini (yang dikategorikan mengikut bidang) dikenal pasti sebagai pemacu utama reformasi struktur bagi bidang-bidang tersebut,” jelas Rafizi.

Menurut bekas Timbalan Presiden PKR itu lagi, cadangan dasar yang berani dan radikal tidak semestinya diterima oleh kementerian
kementerian.

“Sebab itu, saya telah membentangkan beberapa kali kepada Perdana Menteri terlebih dahulu (antara Februari hingga April 2025) dan dibentangkan sebanyak dua kali kepada Jemaah Menteri Khas, untuk mencapai kompromi dan kata sepakat.

“Semua bukti pembentangan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri ada di laman Facebook Perdana Menteri sendiri, yang sering melaporkan perbincangan mengenai RMK13 dengan Kementerian Ekonomi.

“Jadual penyediaan dan pembentangan RMK13 adalah ketat. RMK13 bakal mencatat sejarah sebagai penyediaan RMK yang terpantas iaitu kurang dari setahun (dari persidangan permulaan hingga pembentangan). Sebelum ini, masa yang diambil untuk menyediakan RMK ialah antara setahun setengah ke dua tahun.

“Selain jadual masa yang lebih singkat, saya juga membuat keputusan agar RMK13 dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam tanpa menggunakan perunding luar. Pandangan itu berasaskan kepakaran dan pemahaman yang ada di kalangan penjawat awam.

“Proses seterusnya ialah percetakan yang memerlukan di antara dua ke tiga minggu. Jika ada rombakan semula, bab-bab penting (termasuk analisis data, angka dan sebagainya) perlu ditulis semula, dalam keadaan Kementerian Ekonomi hanya ada dua minggu sebelum dokumen itu perlu dihantar untuk percetakan akhir (mengambil kira RMK13 dirancang untuk dibentangkan dalam minggu pertama atau kedua Ogos 2025),” kata Rafizi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat