NILAI – Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama MASAC serta Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan satu program yang memberi peluang kepada bekas-bekas penagih untuk menjadi jurulatih atau ‘mentor’ kepada penagih-penagih lain kembali ke pangkal jalan.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Prof. Dr. Hj. Raduwan Idar mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang berjaya menamatkan kursus kejurulatihan dengan jayanya.
“Graduan pada hari ini amat berbeza dengan graduan universiti lain kerana mereka akan menanggung tugas yang lebih besar untuk membantu penagih mengubah nasib mereka dan keluarga,” katanya ketika berucap di Majlis Graduasi Jurulatih Pemulihan Bertauliah 2.0 oleh MASAC, di sini, baru-baru ini.
“Program yang berkonsepkan mentor mentee ini diharap dapat memberi cahaya baru kepada penagih-penagih yang ingin ke pangkal jalan. Mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat dari jurulatih ini untuk menjadi lebih baik sama seperti mereka”.
Sementara itu, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, program ini seharusnya diberikan pujian atas inisiatif mereka untuk melatih golongan ini menjadi seorang jurulatih. Dalam masa yang sama dapat membantu menambah pendapatan mereka melalui ceramah serta khidmat nasihat.
“Penganjuran kursus ini telah memberikan mereka peluang kedua, bersama pengalaman yang mereka sendiri pernah alami, mereka dapat memberi nasihat terbaik untuk penagih lain kembali ke pangkal jalan.”
“Khidmat nasihat jurulatih ini diharap dapat mengembalikan mereka yang telah terjebak dengan penagihan dadah untuk kembali kepangkal jalan dan berusaha menjadi manusia yang berguna kepada keluarga dan masyarakat.”
“Saya juga berharap lebih ramai lagi bekas-bekas penagih dapat ditauliahkan melalui program ini kerana mereka lebih arif dan memahami cara untuk pulih dari ketagihan. Saya dimaklumkan ada diantara peserta graduasi ini merupakan bekas individu yang terjerumus dengan penagihan dadah,” tambahnya lagi.
Majlis penyerahan sijil telah disaksikan oleh Naib Canselor Universiti Sains lslam Malaysia (USIM), Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani; Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam Ketua Pusat Kecemerlangan Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Nurashikin Ibrahim; Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) USIM, Profesor Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin dan Presiden Malaysian Substance Abuse Substance Council (MASAC), Ahmad Lutfi Abdul Latiff.
Turut hadir dalam sesi tersebut adalah Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman dan Pengurus Jabatan Program YBR, Haziqah Hazemi.
Program dengan kerjasama MASAC ini melibatkan 40 peserta dengan tenaga pengajar terdiri daripada pensyarah dari Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) USIM.
Latihan Jurulatih Pemulihan Bertauliah bagi tahun 2023 yang dilaksanakan secara 2 siri ini direka khususnya kepada mereka yang sudah pulih dan ingin mendapatkan pengetahuan dan kemahiran dalam menangan ketagihan dadah.