KUALA LUMPUR – Di sebalik spekulasi peletakan jawatan daripada Kabinet selepas tumpas dalam pemilihan PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dilihat tenang hadir menjalankan tugas di Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pagi ini.
Menteri Ekonomi itu dilihat menghadiri Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam,Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP – EAGA) ke 16 yang bermula pada jam 8 pagi.
Rafizi menyertai sidang kemuncak itu yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Sebaik tiba, beliau dilihat berjabat tangan dengan Anwar dan delegasi ASEAN yang lain.
Pemimpin lain yang hadir termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Para pemimpin kemudian bergambar bersama sebelum sidang kemuncak bermula dan Anwar dilihat berdiri di sebelah Marcos dan Prabowo, manakala Rafizi berdiri di sebelah Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Marcos kemudian menyampaikan ucapan pembukaan sebelum sesi tertutup bermula.
Hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN akan menyaksikan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang kedua dan Sidang Kemuncak sulung ASEAN-GCC-China berlangsung, lapor Astro Awani pada Selasa.
Pada 10 Mei lalu, Rafizi menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti yang berlangsung pada 24 Mei.
Rafizi berkata, beliau akan kembali menjadi pemimpin di peringkat akar umbi dan berkempen secara intensif untuk parti.
Ahli Parlimen Pandan itu tewas kepada Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti tersebut.