KUALA LUMPUR – MCA akan terus kekal bersama Barisan Nasional (BN) selain komited untuk mengembalikan era kegemilangan BN.
Penerangan MCA dalam kenyataan memaklumkan perkara itu sebagai penafian terhadap dakwaan parti itu berhasrat meninggalkan BN selain menyifatkan laporan media mengenainya adalah tidak tepat.
“Apa yang dicadangkan dalam mesyuarat MCA Pahang antara Ketua-ketua bahagian pada minggu lepas adalah sama ada MCA wajar menarik diri dari Kerajaan Perpaduan dan bukannya dari BN.
“MCA kecewa apabila wujudnya salah terjemahan atau salah faham dalam laporan media berkenaan, dan berharap pembetulan akan dibuat dalam masa terdekat.
“MCA mengulangi pendirian bahawa kami akan terus kekal bersama BN seperti yang dinyatakan oleh Presiden Datuk Seri Wee Ka Siong pada 23 Ogos 2024 semasa menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2024,” katanya lapor Utusan pada Selasa.
Terdahulu, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan MCA Kuantan mengusulkan pengunduran parti itu dari BN.
Difahamkan, MCA Kuantan dilaporkan menjadi bahagian MCA pertama yang mencadangkan perkara itu.
Selain itu, Penerangan MCA turut menegaskan bahawa parti itu sudah 50 tahun bersama BN dan akan terus bertekad menjunjung prinsip BN yang dibawa sejak dahulu.
“Sepertimana yang diulaskan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, mana-mana masalah yang timbul sudah tentu dibincangkan dalam konteks BN secara konsensus dan musyawarah.
“Turut ditekankan, MCA memahami bahawa wujudnya suara dalam kalangan ahli kami dan juga daripada pihak luar bahawa MCA patut meninggalkan BN dan bergerak solo.
“Selaras dengan prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara, MCA menghormati semua pandangan, namun semua hal akan dibincangkan secara mendalam terlebih dahulu oleh kepimpinan parti sebelum pendirian atau hala tuju parti kami ditentukan,” katanya.