KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia menjadi pintu masuk utama kepada syarikat-syarikat China untuk meneroka dan memperluaskan kehadiran mereka di ASEAN, terutamanya dalam sektor teknologi masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), kenderaan elektrik (EV), tenaga hijau dan e-dagang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengetuai sesi libat urus bersama Guangzhou Industrial Investment Holding Group (GIIHG), China Council for the Promotion of International Trade (CCPIT), serta delegasi syarikat-syarikat terkemuka dari China sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
“Pertemuan-pertemuan ini mengukuhkan peranan aktif Malaysia dalam memimpin kerjasama strategik antara ASEAN, China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), khususnya dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi ke rantau ini.
“Saya menegaskan bahawa ASEAN, dengan lebih 680 juta penduduk, merupakan salah satu pasaran paling dinamik dan berpotensi tinggi di dunia.
“Malaysia bersedia menjadi pintu masuk utama kepada syarikat-syarikat China untuk meneroka dan memperluaskan kehadiran mereka di ASEAN, terutamanya dalam sektor teknologi masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), kenderaan elektrik (EV), tenaga hijau dan e-dagang,” kata Zahid dalam kenyataan pada Selasa.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu memaklumkan, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad hadir sama mempromosikan potensi pelaburan berskala besar di negeri Perak sebagai pemacu pertumbuhan baharu negara.
“Antara inisiatif strategik yang dibentangkan termasuk pembangunan taman perindustrian berteknologi tinggi, hab halal serantau, dan pelabuhan berimpak tinggi yang mampu memperkukuh jaringan logistik dan rantaian bekalan antara ASEAN, GCC dan China.
“Negeri Perak memiliki kelebihan dari segi lokasi strategik, tenaga kerja mahir melalui institusi TVET, serta sokongan padu kerajaan negeri dan Persekutuan dalam mewujudkan ekosistem pelaburan yang progresif dan berdaya saing.
“Insya-Allah, Malaysia tidak sekadar menanti peluang tetapi kita tampil memimpin. Melalui sidang kemuncak ini, kami membuka ruang kerjasama pelaburan yang baharu dan mampan, sambil memperkukuh asas ekonomi serantau yang berteraskan inovasi, integrasi dan kemakmuran bersama,” ujar Zahid lagi.