KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon Mahkamah Tinggi merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan untuk ditentukan, termasuk sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan seorang bekas penyelidik.
Anwar berkata beliau mahu mahkamah tertinggi itu memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman difail Yusoff Rawther, empat tahun lalu.
Saman itu berkaitan kejadian didakwa berlaku sebelum Anwar memegang jawatan Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Dalam permohonan difailkan firma guamannya yang baru dilantik, Tetuan Zain Megat & Murad, minggu lalu, Anwar meminta mahkamah memutuskan sama ada saman itu akan menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif dan melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang termaktub dalam perlembagaan, memetik laporan FMT pada Selasa.
Beliau juga mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada prosiding saman itu akan melanggar hak beliau untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman itu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Anwar menyatakan saman itu berasaskan dakwaan ‘direka’ dan beliau menjadi mangsa ‘sabotaj reputasi bermotifkan politik’.
Beliau turut memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi wajib menjalankan siasatan untuk menentukan sama ada saman itu penyalahgunaan proses atau ancaman kepada kepentingan awam, dan jika ya, sama ada ia perlu digantung atau dibatalkan ‘demi mengekalkan tadbir urus berperlembagaan’.
Permohonan itu juga memohon penentuan sama ada Anwar, sebagai perdana menteri semasa, berhak menurut Perkara 5(1) Perlembagaan untuk ‘perlindungan daripada penggugat litigasi’ yang memfailkan saman yang ‘disusun secara strategik atau dipolitikkan untuk menjejaskan keupayaannya mentadbir’.
Anwar memohon rujukan ini di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan.
Beliau berkata perbicaraan saman itu di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain perlu digantung sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.
Peguam Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie, yang membuat afidavit sokongan, berkata permohonan itu dibuat bukan untuk melengahkan perbicaraan tetapi bagi memastikan sebarang keputusan dibuat secara adil dan menurut undang-undang.
Peguam itu berkata persoalan undang-undang dikemukakan memenuhi syarat rujukan seperti ditetapkan dalam Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Peguam Rafique Rashid Ali, yang mewakili Yusoff, berkata beliau telah menerima dokumen mahkamah daripada pihak peguam Anwar.
“Pengurusan kes secara dalam talian telah ditetapkan di hadapan Roz Mawar pada jam 1 tengah hari esok,” lapor portal itu.
Permohonan itu akan didengar oleh Roz Mawar yang perlu menentukan sama ada perkara tersebut melepasi ambang keperluan untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Yusoff, cucu kepada arwah pejuang pengguna Pulau Pinang, SM Mohamed Idris, memfailkan saman terhadap Anwar pada tahun 2021, mendakwa bahawa beliau telah diserang di rumah presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.
Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Anwar telah menafikan dakwaan itu dan memfailkan saman balas.
Mahkamah Tinggi tahun lalu menetapkan perbicaraan berlangsung pada 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun.