Kuching: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan suntikan RM1 juta untuk Tabung Kasih@Hawana sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024, di Hotel Waterfront, sebentar tadi.
Menurut Perdana Menteri, ia bagi membantu petugas media yang mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.
“Saya ingin mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta untuk Tabung Kasih@Hawana pada 2025.
“Ia bagi membolehkan lebih ramai lagi veteran dan pengamal media yang mengalami kesempitan hidup dan ditimpa keuzuran dapat dibantu,” jelasnya.
Kata Perdana Menteri, Tabung Kasih@Hawana ini adalah tambahan kepada dana RM1 juta yang diumum pada HAWANA 2023 yang berlangsung di Perak, tahun lepas.
Tabung Kasih@Hawana diperkenalkan Kementerian Komunikasi menerusi Bernama tahun lalu bagi membantu wartawan veteran dan pengamal media yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup.
Setakat ini, seramai 102 orang pengamal media sudah dijejaki dan dibantu menerusi tabung berkenaan.
Turut hadir pada Majlis Kemuncak Hawana 2024, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.
Hampir 1,000 pengamal media, wakil persatuan wartawan tempatan dan dari negara anggota ASEAN berhimpun selama tiga hari di Kuching, Sarawak, mulai 25 Mei 2024 sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 anjuran Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebagai agensi pelaksana.
Buat julung-julung kalinya HAWANA 2024 turut menganjurkan program Jelajah HAWANA 2024 bersama Siswa yang dirasmikan Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil pada 25 Mei 2024 di Pustaka Negeri Sarawak bagi mendedahkan mahasiswa dan mahasiswi mengenai industri media.
Turut diadakan, Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan “Evolusi Media dalam Era Digital” dan Pameran HAWANA 2024 di Atrium Utama Plaza Merdeka Shopping Centre pada 25 hingga 27 Mei 2024.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium bagi membentuk minda masyarakat bermaklumat dalam memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri.