KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Pusat Kecemerlangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi menganjurkan kursus dan latihan berkaitan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Menurut beliau, kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan RM1 juta pusat kecemerlangan Bernama itu menjalankan kursus, latihan terutama dalam bidang teknologi AI untuk pengamal media.
Jelasnya lagi, peruntukan itu selaras dengan seruan agar warga media turut sama mendalami dan menguasai penggunaan teknologi termask AI ketika menjalankan tugasan mereka.
“Kita minta Bernama bantu selaraskan beberapa kegiatan, sekarang ini Pusat Kecemerlangan Bernama diminta supaya menambah kursus, latihan terutama dalam bidang teknologi AI untuk pengamal media, kita luluskan RM1 juta untuk maksud itu,” katanya ketika berucap di majlis kemuncak Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di sini, sebentar tadi.
Turut hadir pada Majlis Kemuncak Hawana 2024, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.
Pusat Kecemerlangan Bernama bertanggungjawab menyediakan program latihan yang berkaitan dengan kakitangannya dan juga agensi-agensi kerajaan mahupun syarikat korporat, selain turut menguruskan permohonan penuntut institut pengajian tinggi bagi menjalankan latihan industri di organisasi itu.
Keseriusan kerajaan dalam membangunkan ekosistem AI dapat dilihat melalui pelbagai inisiatif seperti ’AI Untuk Rakyat’ yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang teknologi itu dan AI Sandbox 2024 yang menyasarkan penubuhan 900 syarikat pemula AI dan 13,000 bakat baharu menjelang 2026.
Selain itu, Anwar Ibrahim mengumumkan suntikan RM1 juta untuk Tabung Kasih@Hawana sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024, di Hotel Waterfront, sebentar tadi.
Menurut Perdana Menteri, ia bagi membantu petugas media yang mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.