KUALA LUMPUR – “Saya menasihati rakan-rakan semua jangan ‘merajuk’. Jangan ‘patah hati’ dan putus asa untuk terus mahu mendapatkan suntikan vaksin pula,” rayu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada rakyat Malaysia yang gagal menempah slot temujanji suntikan vaksin AstraZeneca pusingan kedua semalam.
Kata Zahid senmalam, media sosial dihujani rungutan tentang kesulitan pendaftaran online bagi mendapatkan suntikan AstraZeneca 2.0.
“Ada yang terpaksa mengaku diri bukan robot sehingga berpuluh kali sejak pukul 12 tengah hari, tetapi masih gagal membuat pendaftaran.
“Ada yang tidak dapat memilih negeri. Paling teruk ada yang langsung tidak dapat akses kepada pendaftaran dalam talian tersebut,” jelas Zahid berkenaan situasi yang terpaksa dihadapi rakyat.
Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, perkara ini perlu diatasi segera.
“Dalam keadaan rakyat bersemangat mendapatkan vaksin Covid-19, jangan lunturkan semangat mereka.
“Pada waktu rakyat digesa demi gesaan supaya mendapatkan AstraZeneca suntikan, permasalahan seperti ini sama sekali tidak membantu.
“Kita tunggu penjelasan atau perutusan ruang bicara khas kerajaan. Semoga ada penyelesaian secepat mungkin,” ujar beliau.