KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kecekapan pakar tempatan mengendali insiden serangan siber Malaysia Aiports Holding Berhad (MAHB).
Terkait insiden keselamatan siber membabitkan MAHB, Perdana Menteri mengarahkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk bekerjasama rapat dengan MAHB sejak insiden ini dilaporkan beberapa hari lalu.
Menurut Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disampaikan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah , Anwar mengingatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan hanya merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan perkembangan terkini.
“Insiden ini menunjukkan keupayaan tempatan untuk mengendali insiden keselamatan siber harus sentiasa pada tahap terbaik.
“Kerjasama pasukan kerajaan dan industri harus seiring agar keupayaan menjaga infrastruktur kritikal negara dari sebarang ancaman pada tahap
tinggi.
“Keupayaan kapasiti dan kompetensi pakar tempatan harus terus diperkukuh agar kebergantungan kepada pihak asing dalam mengurus sistem kritikal negara diminimumkan,” katanya.
Ujar Tunku Nashrul lagi, kesiapsiagaan pakar tempatan dalam berhadapan sebarang insiden keselamatan siber akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Madani.
“Ini merupakan jaminan agar keyakinan rakyat serta pelabur terhadap negara sentiasa pada tahap yang tinggi,” katanya pada Khamis.