APM lancar ‘Op Prihatin’ 28 Mac hingga 6 April ini, bantu pengguna jalan raya

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

ALOR SETAR- Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah telah melancarkan ‘Op Prihatin’ peringkat Zon Utara 2025 di Petronas Bandar Anak Bukit, dekat sini pada Selasa sempena perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba kelak.

Pengarahnya, Lt. Kol (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata ‘Op Prihatin’ merupakan satu konsep rondaan oleh petugas APM bagi membantu pengguna jalan raya melibatkan jalan persekutuan dan negeri yang mengalami kecemasan terutamanya ketika waktu kemuncak perjalanan pulang berhari raya di kampung dan perjalanan balik ke kediaman selepas tamat cuti perayaan.

Turut hadir, Pengarah APM Perlis, Lt. Kol. (PA) Mohd Izaimi Md Daud; Timbalan Pengarah APM Pulau Pinang, Lt. Kol. (PA) Zico Sual; dan Pengurus Jabatan Runcit Bahan Api, Wilayah Utara 1, Petronas Dagangan Berhad, Muhammad Syafiq Sulaiman.

Zairil Anuar berkata APM telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Petronas Dagangan Berhad bagi menjayakan pelancaran ini yang diadakan secara serentak pada Selasa di seluruh Malaysia mengikut zon masing-masing.

Beliau berkata operasi ini akan bermula 28 Mac sehingga 6 April ini akan dilaksanakan selama 10 hari oleh 4 orang petugas yang akan membuat rondaan pada waktu pagi, petang dan malam dalam radius 5 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) masing-masing.

Menurutnya, petugas operasi akan membantu pengguna jalan raya yang berada dalam kecemasan, membantu melancarkan aliran trafik sepanjang musim perayaan, dan menguar-uarkan kepada masyarakat tentang keberadaan APM.

Selain itu, mereka akan menyalurkan informasi serta mendidik masyarakat tentang kepekaan rawatan awal kecemasan sepanjang penugasan dan ketika menyantuni pengguna jalan raya.

“Kes-kes kecemasan yang akan dihadapi dan direspon oleh petugas APM antaranya kemalangan jalan raya, pokok tumbang, pembaikan kecil kenderaan, penyelamatan haiwan, bencana dan lain-lain kes khidmat kemanusiaan.

“Selain itu, penugasan operasi ini telah ditambahbaik dengan penglibatan Unit Dron APM dalam melaksanakan pemantauan udara di sekitar kawasan hotspot bencana.

“Bagi Zon Utara, seramai tujuh orang pegawai tetap APM telah terlibat terdiri daripada tiga orang pegawai APM Kedah, seorang pegawai APM Perlis dan tiga pegawai APM dari Pulau Pinang,”katanya.

“Anggota yang bertugas sentiasa bersiap sedia dengan apa jua kes yang akan dihadapi dengan kemahiran yang ada serta sentiasa menjaga keselamatan diri ketika mengadakan rondaan dan pemantauan.

“Ianya cabaran kepada kita semua ketika cuaca yang panas terik dan dalam keadaan berpuasa, namun ianya bukanlah halangan kerana niat kita bekerja adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara,”katanya lagi.

“Semoga pahala amalan kita berlipat kali ganda ketika bulan Ramadan ini. Insya Allah.

“Diharap semua anggota dan pegawai APM yang menjalankan tugas di hari perayaan ini sentiasa menjaga keselamatan diri dan sesungguhnya anda telah berkorban demi menjamin kesejahteraan masyarakat setempat.

“Terima kasih, syabas kepada anda semua, dan dikesempatan ini saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta Maaf Zahir dan Batin, ”tambahnya. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat