Malaysia-Kemboja sepakat kerjasama sektor keselamatan makanan, pelaburan, EV

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Kemboja sepakat untuk mengaktifkan semula mekanisme Suruhanjaya Bersama untuk Kerjasama Dua Hala (JCBC) bagi mengkaji dan menilai kemajuan kerjasama bilateral dalam sektor-sektor penting.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan yang sangat bermanfaat mengenai beberapa isu dalam lawatan pertama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet ke Malaysia.

“Kami juga telah bersetuju untuk mempercepatkan proses JCBC antara kedua-dua negara lebih awal daripada jangkaan.

“Antara sektor yang perlu dibincangkan dan diterokai adalah seperti keselamatan makanan, penyelidikan bersama, pelaburan, industri halal, tenaga boleh diperbaharui dan industri berteknologi tinggi seperti kenderaan elektrik (EV) dan kepintaran buatan (AI),” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar bersama Hun Manet sempena lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Ogos 2023 di Putrajaya, lapor Utusan pada Selasa.

Terdahulu, Anwar dan Hun Manet turut menyaksikan pertukaran memorandum (MoU) dalam bidang kewangan inovatif dan perkhidmatan pembayaran antara Bank Negara Malaysia dan Bank Kebangsaan Kemboja.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia dan Kemboja juga akan meneroka kerjasama antara Jabatan Kastam kedua-dua negara bagi memudahkan pergerakan barangan.

“Kita telah pun memulakan perbincangan mengenai MoU oleh kedua-dua Jabatan Kastam dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi, ia bergantung kepada kecekapan kedua-dua Kementerian Luar Negeri,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, perbincangan tersebut turut merangkumi kaedah untuk meningkatkan jumlah dagangan bagi produk pertanian dan komoditi terutamanya minyak sawit dan beras putih.

Menurut Anwar, Kementerian Perdagangan kedua-dua negara akan menggunakan platform JTC untuk menangani cabaran dan mencari penyelesaian untuk meningkatkan pertukaran perdagangan dalam kedua-dua item itu.

Sementara itu, beliau berkata, nilai pelaburan oleh syarikat Malaysia di Kemboja telah melebihi US$ 3 bilion.

“Pelaburan telah ada, tetapi kita harus mengharapkan lebih banyak pelaburan ke Kemboja dan dari Kemboja ke Malaysia. Dan sudah tentu ada peluang besar dengan Perdana Menteri (Hun Manet) memberi jaminan bahawa mereka akan memberikan semua sokongan serta perhatian.

“Manakala, mengenai sektor tenaga, saya menyatakan minat Malaysia untuk menjadi pemain utama dalam pembinaan lebih 1,000 kilometer saluran paip tenaga dasar laut bagi memudahkan penghantaran tenaga boleh diperbaharui dari Kemboja dan Laos ke Singapura,” katanya.

Tambah Anwar, kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai kerjasama berterusan antara pihak berkuasa kedua-dua negara untuk memastikan tindak balas yang pantas dan berkesan dalam mengawal usaha memerangi jenayah rentas sempadan dan rentas negara, termasuk kes yang berkaitan dengan penipuan pekerjaan.

“Kami merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri (Hun Manet) dan kerajaan Kemboja kerana membantu kami dalam menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat