Penganjur Oscar tubuh pasukan krisis elak insiden Will Smith

- Advertisement -

LOS ANGELES : Penganjur Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 yang bakal berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) bulan depan, menubuhkan pasukan krisis bagi menangani insiden tidak dijangka susulan kontroversi aktor Hollywood, Will Smith melempang Chris Rock di pentas acara berprestij itu, tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Akademi Filem Seni dan Sains (AMPAS), Bill Kramer, berkata pasukan krisis itu sedia berdepan apa sahaja kemungkinan pada malam gilang-gemilang Oscar yang akan dikendalikan Jimmy Kimmel pada 12 Mac depan.

Dalam wawancara bersama majalah Time, Kramer berkata, insiden Smith melempang Rock di pentas Oscar, tahun lalu membuka minda penganjur terhadap banyak perkara, lapor agensi.

“Kami ada pasukan krisis, sesuatu yang tidak pernah kami buat sebelum ini dan banyak perancangan lain turut disediakan,” katanya.

Pada 28 Mac tahun lalu, tindakan Smith melempang Rock di pentas edisi ke-94 Oscar, mengejutkan penonton di Dolby Theatre dan seluruh dunia yang menyaksikan siaran langsung anugerah berprestij itu.

Insiden berlaku ketika Rock yang menjadi penyampai bagi kategori Dokumentari Terbaik, membuat lawak yang kurang disenangi mengenai penampilan isteri Smith, Jada Pinkett Smith yang berimej botak dengan menyamakannya seperti watak G.I Jane lakonan Demi Moore.

Secara tiba-tiba, Smith yang juga calon Oscar, naik ke pentas lalu melempang Rock yang terkejut dan terpinga-pinga dengan aksi pelakon dan penerbit itu.

Sebaik menampar Rock, Smith kembali ke tempat duduk dan menjerit ke arah Rock meminta agar nama isterinya yang menghidap penyakit alopecia yang mengakibatkan keguguran rambut, tidak disebut.

Berikutan insiden itu, Smith memohon maaf secara terbuka kepada Rock menerusi hantaran di Instagram (IG), sehari selepas insiden itu. Akhir Julai tahun lalu, Smith sekali lagi dilaporkan memohon maaf kepada Rock atas perlakuannya.

Smith menyatakan permohonan maaf itu melalui video diberi judul ‘It’s been a minute’ yang dimuat naik di saluran YouTube rasminya.

Akibat perlakuannya, Smith dilaporkan dilarang menghadiri Oscar dan semua acara anjuran AMPAS bagi tempoh 10 tahun.

Kramer yang dilantik CEO AMPAS pada Julai lalu berkata, pasukan krisis berkebolehan bertindak dengan sangat cepat andai sebarang insiden berlaku.

Kramer berkata, penganjur juga mempunyai alasan kukuh untuk memilih Kimmel sebagai hos.

“Itulah sebabnya anda mahu seseorang seperti Jimmy Kimmel di pentas yang mana individu biasa berurusan dengan siaran langsung. Semuanya tidak selalu berjalan seperti dirancang.

“Jadi, anda perlukan hos yang boleh menguruskan detik itu,” katanya, lapor agensi.

Sebelum ini, Kimmel mengacarakan Oscar pada 2017 apabila Warren Beatty dan Faye Dunaway tersilap mengumumkan La La Land sebagai pemenang Filem Terbaik.

Tanpa berlengah, Kimmel membetulkan kesilapan itu.

“Saya fikir saya seorang sahaja yang ada mikrofon dan saya mungkin perlu selesaikannya,” kata Kimmel selepas kejadian itu.

Tahun lalu, Oscar dihoskan pelawak Wanda Sykes, Regina Hall dan Amy Schumer. – AGENSI

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat