Kerajaan Peruntuk RM4.9 Bilion Tangani Masalah Banjir Di Sabah – Tuan Ibrahim

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM4.9 bilion dalam usaha menyelesaikan masalah berkaitan banjir, perparitan, saliran dan pembentungan di negeri Sabah.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, terdapat lebih kurang 40 projek besar yang akan dilaksanakan bagi menangani isu-isu berkenaan

“Keseluruhan bagi projek di Sabah melibatkan agensi bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air, Jabatan Bekalan Air (JBA), Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Di samping itu, kita juga ada projek-projek kecil melalui cabut undi sahaja, untuk menyelesaikan masalah saliran yang seringkali tersumbat, mungkin lama tak diselenggara.

“Untuk itu kita peruntukkan bagi Sabah, lebih kurang RM13.36 juta untuk 177 projek yang melibatkan seluruh kawasan-kawasan yang seringkali dilanda banjir di Sabah.

Jelas beliau, kunjungan beliau ke Sabah adalah bertujuan melihat dan mencari penyelesaian berkaitan isu banjir, khususnya di daerah Kota Belud.

“Sebab Kota Belud ini satu kawasan yang seringkali berlaku banjir, terutama selepas berlaku gempa bumi dahulu.

“Saya bersama dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran dan pegawai-pegawai kanan kementerian turun dengan lawatan kerja untuk kita pergi kawasan-kawasan yang seringkali terdedah dengan banjir dan mencari penyelesaian,” katanya.

Beliau juga sempat mengadakan kunjung hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil bersama bagi menyelesaikan isu banjir di kawasan Kota Belud.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga merangkap Timbalan Presiden Pas Malaysia ketika ditemui selepas majlis perjumpaan tertutup bersama ahli-ahli PAS Sabah malam Jumaat, berkata beliau turut menyampaikan amanat kepada ahlinya agar membantu kerajaan negeri dalam melaksanakan agenda pembangunan di negeri Sabah.

“Yang kedua kita peringatkan tentang COVID-19 kepada ahli kita.

“Sekarang vaksinasi telahpun bermula di Sabah dan insya-Allah ahli-ahli Pas akan turut sama menyokong dan mendokong vaksinasi ini.

“Kita juga peringatkan supaya masing-masing memperkasakan kekuatan parti sebagai sebahagian daripada kerajaan yang ada dan insya-Allah kita harap ahli-ahli parti, kepakaran yang mereka ada dapat dimanfaatkan untuk pembangunan di negeri Sabah,” katanya. – Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat