KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan maaf Menteri besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor atas nama ukhwah sesama Islam dan Melayu.
Sultan Sharafuddin bertitah menasihati Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan tidak terlalu beremosi dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik ketika memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali apabila berada dalam Negeri Selangor.
“Semoga Datuk Seri (Sanusi) berada di dalam keadaan sihat dan sejahtera. Permohonan ampun dan maaf Datuk Seri berkenaan kenyataan pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak, Selangor telah Beta pertimbangkan.
“Beta dengan ini berkenan untuk menerima permohonan ampun dan maaf daripada Datuk Seri di atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
“Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas di dalam permohonan maafnya,” titah Sultan Selangor dalam kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin menitahkan bahawa baginda tidak mahu rakyat khususnya di Negeri Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin.
“Kelakuan dan tuturkata yang baik ini amatlah penting untuk masa depan karier politik Dato’ Seri.
Sebagai seorang pemimpin, Datuk Seri harus memikirkan kesan yang akan diperolehi dari setiap tindak tanduk yang telah dilakukan.
“Akhir sekali Beta berharap semoga Datuk Seri akan terus berjaya dan dipermudahkan di dalam melaksanakan tugas dan tanggung jawab,” titah baginda lagi.
Semalam, Sanusi mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ia berhubung kenyataannya yang didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri berkenaan.
Itu adalah permohonan maaf kedua oleh Menteri Besar Kedah itu kepada Sultan Selangor selepas kali pertama pada 14 Julai tahun lalu.