Agong Berkenan Rasmi Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 yang berlangsung di sini dari 25 Sept hingga 30 Sept.

Baginda diiringkan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Al-Sultan Abdullah bertitah berharap agar Simposium Tekstil Tradisional ASEAN dwitahunan itu akan terus diadakan di negara lain pada masa hadapan dengan menghimpunkan penggiat seni tekstil dari ASEAN dan rantau lain untuk berkongsi maklumat mengenai keunikan tekstil masing-masing.

“Sambutan untuk acara ini amat menggalakkan dengan lebih 300 peserta. Saya berharap semua peserta akan bergembira di sini,” kata Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka baginda turut mengucapkan tahniah kepada Tunku Azizah dan pasukannya atas usaha mereka dalam menganjurkan acara dengan jayanya.

“Beta perlu memberitahu bahawa Raja Permaisuri sangat sibuk dalam memastikan simposium ini berjaya. Beta ingin berkongsi bahawa beta melihat betapa mendalamnya minat Raja Permaisuri untuk memastikan kejayaan acara ini, baginda kadang-kadang tidak dapat tidur pada waktu malam,” titah Al-Sultan Abdullah.

Simposium berkenaan dianjurkan Yayasan Tenun Pahang Diraja, mempamerkan keindahan tekstil Malaysia termasuk songket dan batik selain teknik pembuatan tekstil warisan Melayu seperti tekat, tenun, telepuk dan menggerus untuk dipelajari oleh masyarakat dunia.

Sempena simposium itu, 19 kertas kerja akan dibentangkan oleh wakil 13 negara termasuk Brunei, Indonesia, Kemboja, Kanada, India, Filipina dan Myanmar, khususnya untuk membincangkan mengenai pemeliharaan seni dan kelestarian tekstil tenunan asli di rantau ASEAN.

Sementara itu, Tunku Azizah yang merupakan pengasas dan penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas usaha dalam menyokong dan memelihara seni kraf tekstil berkenaan.

“Dari lubuk hati beta, beta ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan. Terima kasih banyak-banyak. Kita harus memelihara apa sahaja yang kita ada untuk generasi akan datang,” titah Tunku Azizah.

Tunku Azizah bertitah Institut Kraf Negara di Rawang, Selangor, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di Kuala Lumpur, Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam di Pekan, Pahang, dan program pemulihan penjara oleh Jabatan Penjara, merupakan pencapaian khas hasil inisiatif kerajaan.

Sempena majlis itu, Tunku Azizah turut mengumumkan projek kerajaan Pahang di Kampung Al-Sultan Abdullah di Pekan akan menyediakan tempat tinggal kepada bekas banduan dari seluruh negara dan memberi peluang kepada mereka untuk membina semula kehidupan dalam persekitaran yang bersepadu dan kondusif.

“Di dalam perkampungan seluas 20 ekar tanah yang disediakan kerajaan Pahang ini, beta ingin terus membawa harapan kepada mereka yang datang dari penjara ini mengenai erti kebebasan. Kami mahu memperkasakan insan-insan ini untuk berdikari dari segi kewangan serta menyumbang kepada ekonomi tempatan dan domestik,” titah Tunku Azizah.

Baginda juga mengumumkan penubuhan Persatuan Artisan Diraja Malaysia sebagai sebuah persatuan untuk mengiktiraf segelintir artisan yang mahir dan hasil usaha mereka yang lampau dan masa depan.

Berkongsi perjalanan baginda, dalam memelihara dan menghidupkan tradisi budaya, Tunku Azizah bertitah ia bermula dua dekad lepas dengan memberi tumpuan kepada usaha perkembangan dan penjenamaan semula Tenun Pahang kepada Tenun Pahang Diraja di Pulau Keladi, Pekan.

“Baru-baru ini, kita telah menyertai Minggu Kraf London untuk mempamerkan Tenun Diraja Pahang kepada dunia. Beta berharap dapat mengetengahkan seni dan kraf lain seperti seni Orang Asli dan songket dalam Minggu Kraf London yang akan datang,” titah Tunku Azizah.

Tunku Azizah bertitah, baginda juga akan meneruskan lawatan sambil belajar ke negara-negara lain untuk menerokai dan mengenali cara negara berkenaan mengekalkan tradisi lama.

“Apabila pulang ke Pahang, beta akan gabungkan ilmu yang dipelajari ke dalam tekstil tradisional kita. Malah, reka bentuk itu telah diserapkan dalam kesemua enam persalinan pakaian yang beta pakai semasa pertabalan Yang di-Pertuan Agong,” titah Tunku Azizah. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,481FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat