KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di mahkamah pada Selasa di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataan yang dibuat semasa pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang lepas.
Menurut Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin, Muhyiddin akan didajwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang di bawah Akta Hasutan.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang di bawah Akta Hasutan.
Pendakwaan esok menggunakan Akta Hasutan,” kata Badrul Hisham atau dikenali Chegu Bard di Facebooknya.
Muhyiddin telah mengundang maklum balas dan kritikan susulan ucapannya baru-baru ini yang menceritakan apa yang berlaku selepas pilihan raya umum lalu apabila dia mendakwa mempunyai jumlah ahli Parlimen sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Muhyiddin dijadual memberikan keterangan kepada polis di pejabatnya di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Kuala Lumpur pada jam 11 pagi ini.
Siasatan itu dibuat susulan 30 laporan polis, termasuk oleh istana Pahang, terhadapnya kerana didakwa mempertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Perdana Menteri.
Muhyiddin dilaporkan menyebut bahawa agong tidak mengundangnya mengangkat sumpah perdana menteri walaupun mempunyai sokongan cukup anggota Parlimen.
Kenyataan itu turut membuatkan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah murka atas tindakan “memperlekeh” tugas Al-Sultan Abdullah ketika menjadi agong.
Muhyiddin bagaimanapun menegaskan kenyataannya di Nenggiri, Kelantan itu bukan bertujuan menghina institusi raja tetapi hanya menyatakan “fakta”.