KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru Pemuda UMNO bangkit bagi mengembalikan maruah dan kegemilangan parti itu.
Katanya, sebagai tiang seri UMNO, ia menuntut kesedaran dan komitmen tidak berbelah bahagi daripada Pemuda UMNO untuk terus kekal relevan, kembali diterima rakyat, dan memacu kebangkitan yang diharapkan.
“Dalam tempoh 74 tahun sejak penubuhannya, pelbagai peristiwa besar dan bersejarah telah dilalui oleh Pergerakan Pemuda UMNO termasuklah bersama-sama berjuang hingga berjaya memerdekakan tanah air yang tercinta ini daripada belenggu penjajahan.
“Namun, situasinya cukup berbeza pada hari ini. Parti UMNO yang dahulunya cukup berjasa besar memerdekakan dan memajukan negara, telah semakin dilupai dan menghadapi krisis keyakinan rakyat.
“Keadaan ini seharusnya menuntut kesedaran dan komitmen tidak berbelah bahagi daripada Pemuda UMNO selaku tiang seri dan tonggak utama parti laksana ‘keris panjang berkeluk’ yang digeruni lawan.
“Pemuda UMNO harus terus berperanan dalam memastikan UMNO kekal relevan, kembali diterima rakyat, dan memacu kebangkitan yang diharapkan.” Kata Wan Rosdy dalam kenyataan amanat sempena sambutan ulang tahun ke-74 Pergerakan Pemuda UMNO pada Sabtu.
Ujar Wan Rosdy lagi, sejak sekian lama, keberanian, kecekalan dan semangat juang kepahlawanan Melayu yang ditonjolkan oleh tokoh-tokoh Pemuda UMNO lah, menjadi asbab utama dalam memastikan UMNO terus dihormati, diyakini dan disanjungi rakyat.
Beliau juga menggesa pergerakan pemuda UMNO berperanan lebih aktif untuk mendekati, memahami dan menambat hati anak muda.
Ia menuntut keberanian dan kepintaran pergeraka pemuda UMNO mencorak parti ini.
“Dekati, fahami dan tambatlah hati anak muda untuk menyokong kita. Ini lah amanah terbesar yang harus dipikul sepenuh hati oleh Pemuda UMNO ketika ini.
“Berjuanglah. Kita tidak rela keris panjang warisan ini tersisip di dinding, tajam, tapi lena di dalam sarungnya. Maka, pamerkan keberanian dan kepintaran yang diwarisi Pemuda untuk terus mencorak parti. Jika ada yang salah, bantulah betulkan. Jika ada yang rosak, bantulah baiki. Jika ada yang khilaf, teruskan menegur. Jika menurut biarlah berakal, jika mengikut biarlah pintar.
“Kita orang parti. Maknanya, apa jua tindakan yang hendak kita lakukan, letak lah misi, visi dan kepentingan parti di hadapan.” Ujarnya.
Tambahbya, selaku Naib Presiden UMNO, beliau akan sentiasa mendukung dan menyokong apa jua agenda yang hendak dibawa oleh Pemuda, selagi mana ia selaras dengan matlamat parti yang kita sayang ini.
“Asahlah, asapkan api kepahlawanan keris ini. Teruskan berjuang, demi UMNO yang kita sayang.” Katanya.-SUARATV