KUALA LUMPUR: Presiden Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa menyeru Bangsa Johor mengundi calon-calon Perikatan Nasional (PN) bagi menghantar isyarat kepada pemimpin UMNO yang terus menerus melakukan kerosakan dan masih dalam “In Total Denial”.
Jelas Annuar, isyarat itu akan menjadi ubat pahit terakhir untuk membaiki UMNO yang telah hancur dilakukan oleh ‘Kartel Presiden’.
“Aliran pemikiran politik Bangsa Johor mempunyai tahap kematangan yg amat tinggi terutama dikalangan Melayu Johor.
“Pemikiran pemimpin Melayu Johor agak terkedapan termasuk kalangan pemimpin UMNO Johor. Justeru tidak mustahil Bangsa Johor akan membuang undi secara bijaksana untuk menghantar isyarat kepada pemimpin UMNO luar Johor yang di lihat terus menjadi liabiliti kepada UMNI itu sendiri.
“Jika itu berlaku, tidak mustahil Bangsa Johor akan memberi sokongan secara pukal kepada Perikatan Nasional dan ia menjadi ubat pahit terakhir untuk membaiki UMNO yang jelas masih “IN TOTAL DENIAL” dan dicengkam kuat oleh kartel Presiden yang terus menerus mengheret UMNO kearah kehancuran.” Kata Annuar Musa di Facebooknya, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Annuar Musa juga berharap Bangsa Johor menjadi pembimbing penyatuan ummah, khususnya penyatuan orang Melayu dengan mereka memberi undi progresif mereka kepada Muafakat dan Gelombang Rakyat melalui calon-calon Perikatan Nasional.
“PRK di Johor pada 9hb September tidak melibatkan calon UMNO. Justeru UMNO khususnya UMNO Johor boleh menarik nafas lega kerana kedua dua kerusi adalah milik AMANAH dan merupakan kubu terkuat PH di Johor. Ini kerana PH berbekalkan sokongan pengundi bukan Melayu yang ramai di sana.
“Walau bagaimana pun, PRK ini tetap menguji sejauh mana UMNO dapat ditunggangi PH di Johor yg merupakan negeri benteng terakhir UMNO,setelah UMNO gagal memberi sebarang nilai tambah kepada Kerajaan Madani dalam PRN yang baru lalu.” Ujar Annuar.