Realiti Kehidupan Miskin Bandar Semasa PKP – Tok Mat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Bin Hassan mahu kerajaan mengiktiraf penemuan dalam dua laporan yang masing-masing diterbitkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) mengenai keupayaan ekonomi golongan miskin bandar menghadapi situasi seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Mat menerusi laman Facebooknya berkata, laporan bertajuk Families on the Edge (Siri Ogos 2020) itu, mengandungi banyak perkara penting untuk kerajaan memahami realiti sebenar kehidupan miskin bandar semasa pelaksanaan PKP di negara ini.

Memetik kepada laporan tersebut, Tok Mat berkata, keluarga berpendapatan rendah di negara ini, amat terjejas dengan perlaksanaan PKP. Statistik menunjukkan bahawa 1 daripada 4 ketua isi rumah menganggur semasa pelaksanaan PKP manakala 31% mengalami potongan waktu bekerja. Keadaan ini menyumbang kepada penurunan jumlah pendapatan median bulanan dari RM1,500 pada tahun 2019 ke RM1,000 pada tahun 2020.

Ini menjadikan keupayaan golongan tersebut mendepani krisis COVID-19 terhalang disebabkan simpanan yang kurang mencukupi dan akses yang terhad kepada perlindungan keselamatan sosial pekerjaan, selain kewujudan individu berkeperluan khas dalam isi rumah seperti warga emas, onang kelainan upaya dan pesakit kronik, kata beliau lagi.

Situasi yang lebih membimbangkan beliau ialah, apabila laporan itu merumuskan hanya 1 daripada 4 isi rumah mampu menyimpan wang semasa PKP; dan daripada bilangan yang kecil ini, hanya 1 daripada 6 isi rumah sahaja yang mempunyai simpanan mencukupi untuk bertahan lebih daripada tiga bulan.

Beliau menambah, keadaan menjadi lebih teruk kepada golongan wanita yang turut bertindak sebagai ketua keluarga. Perkara ini mampu membawa kepada kadar pengangguran yang lebih tinggi dan pandangan yang jauh lebih pesimistik berkenaan prospek pemulihan dalam enam bulan akan datang. Kanak-kanak dalam keluarga ini pula berdepan dengan kemunduran kualiti pendidikan ekoran kekurangan kelengkapan e-pembelajaran.

Natijahnya, laporan ini menurut Tok Mat, mengutamakan pendekatan yang inklusif dalam usaha memulihkan ekonomi Malaysia, bukannya pendekatan ekonomi ‘menitis ke bawah’ (trickle down-economics).

Walaupun ekonomi Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai pemulihan pada tahun 2021, namun ciri keterangkuman tidak boleh diabaikan sama sekali. Pembangunan dan pemulihan perlu dirasai oleh semua rakyat Malaysia, terutamanya golongan yang miskin, minoriti, terasing dan terpinggir.

Untuk mengatasi masalah ini, Adun Rantau tersebut turut memberikan cadangan-cadangan seperti berikut:-

Pertama, Kerajaan perlu mengutamakan strategi pemerkasaan ekonomi bagi membina kapasiti golongan berpendapatan rendah dalam mencari peluang pekerjaan. Contohnya, program latihan kemahiran, program pembangunan masyarakat setempat dan kemudahan kredit mikro perlu diperluaskan bagi golongan miskin bandar.

Kedua, proses pendaftaran untuk mendapatkan bantuan perlu ditambah baik dan dipermudahkan supaya mereka yang layak tidak tercicir. Perkara ini penting kerana masih terdapat individu yang menghadapi kesukaran untuk mengakses bantuan seperti cabaran buta huruf, masalah prosedur, tidak memenuhi syarat kerana pendaftaran perniagaan dengan SSM, masalah logistik, dan isu ‘kronisme’ (seperti yang dilaporkan oleh UNICEF dan UNFPA).

Ketiga, bantuan khas untuk ibu tunggal dan ketua isi rumah wanita perlu ditingkatkan dan diperluaskan kerana golongan ini paling terkesan daripada pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP. Bantuan tersebut penting untuk meringankan beban 32% ketua isi rumah wanita yang menganggur dan 57% yang tidak mempunyai perlindungan sosial pekerjaan.

Dengan ini katanya, Kerajaan perlu mempertimbangkan polisi sementara pendapatan asas sejagat (universal basic income) untuk golongan berpendapatan rendah di Malaysia. Polisi ini amat diperlukan demi menjamin pendapatan yang mencukupi untuk semua penduduk Malaysia. Pendapatan tersebut mampu meringankan bebanan mereka dari segi makanan dan barangan keperluan asas sepanjang tempoh kemelesetan ekonomi ini.

Seterusnya, keupayaan perkhidmatan kesihatan awam negara perlu dimajukan dengan meningkatkan bajet Kementerian Kesihatan. Perkara ini penting untuk memastikan golongan berpendapatan rendah terutamanya warga emas yang terpaksa menunda rawatan bagi penyakit lain tidak terus diabaikan.

Pendek kata, sesiapa pun tidak patut ketinggalan dalam arus pemulihan ekonomi Malaysia, katanya diakhir catatan berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat