KUALA LUMPUR – Bendahari Umno Sabah, Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Said Keruak berharap rakyat di negeri itu untuk tidak terpengaruh dengan dakwaan segelintir pihak yang mengajak untuk hanya memilih parti tempatan, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.
ADUN Usukan itu sebaliknya berkata, hanya melalui formula bersama parti-parti nasional mampu membawa perubahan kepada pembangunan di negeri ini.
“Jangan terjangkit dengan penyakit blok borneo hanya parti tempatan untuk orang Sabahlah.
“Parti nasional dari Kerajaan Persekutuan ini tidak mengambil hak orang Sabah.
“…kerana parti nasionallah yang mengembalikan hak orang Sabah kepada orang Sabah. Mereka parti tempatan, parti pemerintah apa mereka lakukan? Tidak ada… sekadar teriak sana sini lepas itu minta bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Hakikatnya kalau kita mahu membangun tidak ada pilihan formula terbaik dan sesuai untuk Sabah ialah gabungan parti nasional dan gabungan parti tempatan.
“Inilah kita harus lawan jangan takut berdepan dengan isu ini sedangkan Umno -Barisan Nasional (BN) yang membawa pembangunan, kemajuan Sabah,” lapor Umno Online di Sandakan.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah dalam pada itu berkata Umno-BN yang dikemudi oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin perlu diberi peluang untuk kembali mentadbir negeri ini bagi memastikan agenda memakmurkan negeri dan rakyat dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Saya harap Umno-BN diberi peluang untuk menentukan apapun gabungan kita untuk membuat keputusan kerana gabungan itu mestilah berasaskan tiga perkara iaitu politik pembangunan, autonomi dan akomodasi atau perkongsian kuasa.
“Insya-Allah, BN Sabah di bawah kepimpinan Bung Moktar sediakan resipi untuk membangun negeri. Kita sediakan apa yang harus dilakukan masalah rakyat, dengan perancangan peluang pekerjaan , masa depan anak-anak muda,” ujar beliau.