KUALA LUMPUR – Kehadiran jentera DAP di perkampungan Orang Asli dikhuatiri menjejaskan sokongan dan undi kepada calon Barisan Nasional (BN), kata Veteran Umno selepas parti itu berhasrat mahu membantu kempen PRK Nenggiri.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata kehadiran DAP tidak sesuai kerana kawasan perkampungan Orang Asli berkenaan tiada masyarakat Cina.
“Sekiranya jentera DAP ikut turun padang membantu maka ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang dikhuatiri akan menjejas sokongan dan undi kepada calon BN.
Ia juga akan dijadikan isu oleh pembangkang untuk menambah kemarahan kepada Umno dan BN, katanya dalam kenyataan.
Pada 21 Julai, Pengerusi DAP Kelantan Azaha Abdul Rani berkata parti itu akan menumpukan usaha berkempen menarik pengundi Orang Asli seramai lebih 2,700 orang khususnya di lima kawasan iaitu di Tohoi, Sungai Puian, Sungai Jenera, Sungai Wias dan Pos Simpor.
Menurutnya, pucuk pimpinan utama DAP juga akan turun berkempen untuk PRK 17 Ogos ini namun senarai tokoh terlibat belum diputuskan.
Mustapha bagaimanapun berpendapat lebih baik jentera DAP tidak turun di Nenggiri, sebaliknya membantu gerak kerja calon BN dalam aspek lain.
“Orang Asli bercakap bahasa Melayu dan majoritinya beragama Islam.
Oleh itu adalah lebih baik jentera DAP tidak turun padang dan mereka boleh membantu dalam bentuk yang lain sebagai menyokong gerak kerja dan kempen Umno-BN di Nenggiri, katanya.