KUALA LUMPUR – PAS Kedah menjelaskan bahawa kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai komplot untuk menjatuhkan beliau sejak enam bulan yang lalu tidak sama sekali merujuk kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya menegaskan, kenyataan tersebut juga tidak bersangkutan dengan tangkapan pihak PDRM ke atas Sanusi baru-baru ini walaupun secara zahirnya terdapat beberapa keraguan terhadap prosedur yang dikenakan ke atas beliau.
“PAS Kedah ingin menegaskan bahawa Sanusi tidak sesekali bermusuh dengan badan penguatkuasa yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.
“Perseteruan yang sebenarnya adalah dengan Menteri yang bertanggungjawab, bukan kepada badan penguatkuasa itu sendiri.
“Kenyataan ini bukan andaian, malahan disebut sendiri oleh Sanusi dalam siri ceramah beliau. “Saya bukan bermusuh dengan polis, tapi menteri yang jaga KDN,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Walau bagaimanapun tegas Ahmad, PAS Kedah mengharapkan agar badan penguatkuasa khususnya pihak PDRM mahupun SPRM dapat menjalankan tugas dengan penuh profesional.
“Sewajarnya tindak tanduk badan penguatkuasa ini tidak dikuasai oleh mana-mana pihak yang berkepentingan kerana ia kelak akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti badan penguatkuasa dalam negara.
“Badan penguatkuasa bukan sahaja seharusnya bebas bertindak melindungi kepentingan awam, bahkan mesti dilihat bebas,” ujarnya sambil memetik kata-kata ‘justice must not only be done, but must also be seen to be done’.
Ahmad berkata demikian selepas PAS Kedah meneliti kenyataan balas Datuk Seri Ayob Khan berhubung dakwaan wujudnya komplot terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku Menteri Besar Kedah.
Semalam, PDRM menafikan dakwaan bahawa terdapat komplot atau rancangan lebih awal untuk menahan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor iaitu kira-kira enam bulan sebelum ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan terhadap penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu berdasarkan kenyataan berbaur penghinaan ke atas institusi kesultanan Selangor semasa berceramah.
Beliau berkata, berdasarkan kronologi kes, laporan tersebut dibuat sehari selepas insiden berlaku dan laporan seterusnya daripada Ahli Majlis Diraja Selangor pada 14 Julai.
Jelasnya, tangkapan dibuat PDRM berdasarkan laporan semasa.