Bekas ADUN Dakwa Senarai Calon DAP Ditentukan Seorang ‘Maharaja’

- Advertisement -

SEBERANG PERAI – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees mendakwa senarai calon DAP untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang, 12 Ogos ini ditentukan oleh seorang ‘maharaja’.

Beliau yang digugurkan DAP daripada mempertahankan kerusi itu mendakwa lagi, ‘individu’ terbabit menggunakan kuasanya untuk membuat keputusan sendiri.

“Sehingga kini, pencapaian Pulau Pinang di bawah pemerintahan DAP amat membanggakan namun itu bukanlah alasan untuk kita benarkan diktator itu untuk bermaharajalela di negeri ini.

“Walaupun mereka maklumkan senarai calon yang dimuktamadkan adalah keputusan lima pimpinan tertinggi ataupun Jawatan Kerja Pusat (CEC), namun saya rasakan ia dibuat berdasarkan keputusan dan keperluan ‘seseorang’ itu sahaja,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bagan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Satees berkata, beliau akur apabila namanya tidak tersenarai sebagai calon, namun terkilan kerana alasan yang diberikan tidak senada dengan tindakan parti.

Tambahnya, lebih menghairankan lagi apabila enam daripada tujuh ADUN yang pernah menyatakan sokongan terhadap Ketua Menteri, Chow Kon Yeow turut digugurkan daripada senarai pencalonan.

“Mereka kata proses peremajaan perlu dibuat, kena pilih darah baharu (young blood) sedangkan saya baru berusia 38 tahun dan tempoh perkhidmatan pun baru sepenggal.

“Yang peliknya individu yang dicalonkan untuk menggantikan tempat saya berusia 45 tahun dan ada juga yang sudah berkhidmat lebih tiga penggal tapi masih dicalonkan.

“Saya terima keputusan mereka tetapi saya tidak akan berdiam diri dan akan terus bersuara kerana ini memang cara saya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menolak dakwaan akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat. – Kosmo

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat