KUALA LUMPUR – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memohon maaf kepada aktivis alam sekitar, Noor Jehan Abu Bakar yang dipanggil polis kerana didakwa menghina baginda menerusi satu ciapan di Twitter.

Perkara itu disampaikan menerusi Instagram Story baginda, hari ini.

Baginda turut menjelaskan kelewatannya mencemar duli hadir ke Program Penanaman Pemulihan Ekosistem Zon Penampan di Pantai Chenor, Kemaman, baru-baru ini disebabkan masalah kesihatan.

“Mesej peribadi saya kepada Noor Jehan Abu Bakar. Saya secara ikhlasnya memohon maaf kerana lewat ke majlis itu.

“Saya tidak berapa sihat pagi itu dan perlu mengambil beberapa langkah pencegahan untuk keselamatan semua. Saya amat menghargai masa dan perhatian anda. Terima kasih,” catat baginda pada Selasa.

Baginda turut menjelaskan bahawa baginda lewat dua jam kerana tidak berapa sihat pagi itu selepas baru sahaja sembuh daripada demam sebelum majlis penanaman pokok pada program itu, namun perlu hadir ke majlis berkenaan.

Baginda turut meminta polis tidak mengambil tindakan terhadap Noor Jehan dan memperbesarkan perkara itu.

“Saya baru mengetahui perkara ini dan sudah meminta pihak polis tidak mengganggunya (Noor Jehan), tolong jangan reka drama,” tulis baginda.

Kredit Foto; MSN Malaysia