KUALA LUMPUR – PKR mendakwa terdapat usaha pihak tertentu cuba menimbulkan masalah kepada parti berkenaan dengan menghasut ahli-ahlinya.
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata keadaan itu ditujukan kepada ahli di peringkat cabang ekoran rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan pemilihan yang berlangsung baru-baru ini.
“Saya lihat bahawa ada usaha untuk instigate cabang-cabang ini supaya buat aduan untuk mengeruhkan keadaan,” katanya memetik Malaysiakini pada Khamis.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata demikian ketika diminta mengulas aduan beberapa cabang yang dilanda fenomena ‘badan tanpa kepala’ semasa pemilihan di peringkat pertengah April lalu.
Ia dianggap menjadi permulaan kepada rasa tidak puas hati sesetengah kumpulan dalam PKR dengan sebahagian daripada mereka mendakwa wujud unsur meragukan semasa pemilihan berlangsung.
Bagaimanapun PKR menafikan dakwaan berkenaan.
Ditanya lebih lanjut Fuziah bagaimanapun tidak menjelaskan siapa pihak yang didakwanya menghasut ahli di peringkat cabang itu.
Semalam, seramai 19 ahli jawatankuasa PKR Cabang Kulim Bandar Baharu mengemukakan surat aduan kepada ibu pejabat parti bagi menyatakan pendirian mereka tidak lagi percaya kepada ketuanya, Yeo Keng Chuan.
Seorang daripada mereka, Mohd Yusni Abdullah, berkata keputusan itu diambil ekoran beberapa tindakan Keng Chuan yang didakwa sebagai melanggar perlembagaan parti.
Dia turut mengesahkan 19 individu yang menghantar surat itu termasuk timbalan ketua cabang, naib ketua cabang, ketua pemuda dan ketua wanita menghantar surat aduan kepada Fuziah untuk tindakan lanjut.
“Kami memohon pucuk pimpinan parti membatalkan keputusan yang diambil dalam mesyuarat tersebut kerana ia tidak sah mengikut peraturan parti,” katanya kepada portal itu.
Tambah Mohd Yusni, surat aduan itu turut dipanjangkan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan timbalannya Nurul Izzah Anwar.
Surat itu, katanya, mengandungi permintaan kepada pihak PKR menyiasat beberapa isu termasuk melantik orang tertentu sebagai penasihat dan pengerusi jawatankuasa pengurusan tanpa berbincang dengan ahli jawatankuasa.
“Ketua cabang bertindak seolah-olah mempunyai kuasa veto dalam semua keputusan, sedangkan fasal 39 perlembagaan parti dengan jelas menyatakan kuasa dan tanggungjawab terletak pada jawatankuasa cabang, bukan individu,” katanya.
Ketika dihubungi, Fuziah mengesahkan penerimaan surat aduan itu.
“Surat aduan saya terima semalam melalui WhatsApp.
“Ada banyak perkara yang dilaporkan di dalam laporan ini. Saya akan teliti setiap satu.
“Namun, secara sepintas lalu, ada beberapa isu dalam laporan ini yang tidak berpandukan fakta dalam perlembagaan,” katanya.
Sebelum ini beberapa cabang membuat aduan kepada pucuk pimpinan parti berhubung ketegangan di antara ketua cabang dan ahli jawatankuasa masing-masing.
Antaranya, 14 ahli jawatankuasa Pemuda PKR Selayang yang meletak jawatan selepas hilang percaya kepada ketuanya selain AJK PKR Puchong yang membuat aduan mendakwa mesyuarat pertama cabang itu tidak sah.
Sebelum ini, 17 AJK PKR cabang Puchong membuat aduan dengan mendakwa mesyuarat pertama cabang yang diadakan dua hari lalu sebagai tidak sah.
Pada 15 Mei lalu pula seramai 15 pemimpin PKR yang baru menang dalam pemilihan Cabang Masjid Tanah meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta.