KUALA LUMPUR – Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty telah meninggal dunia pada 11.27 pagi, di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang hari ini.
Berita duka itu dikongsikan Facebook Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada Khamis.
“Ustaz Datuk Dr Muhammad Nur Manuty, bekas Presiden ABIM baru sahaja meninggal dunia sebentar tadi di Hospital Serdang.
Al Fatihah. Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un.
“Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amiin,” catat ABIM.
Pada 21 Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sempat menziarahi Allahyarham yang juga rakan lamanya di dalam ABIM yang menerima rawatan di hospital.
“Mendoakan beliau segera diberi kesembuhan dan kekuatan, Insya-Allah,” ucap Anwar.
Semasa hayatnya, Allahyarham dikenali sebagai seorang tokoh ilmuan yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan, pemikiran, falsafah, perbandingan agama dan pengurusan.